Anda di sini

Beri keutamaan kepada graduan Sarawak - STU

Advertisement
 

KUCHING: Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Prakash Abdullah (gambar) berkata keutamaan perlu diberikan kepada graduan Sarawak di bawah pengambilan khas guru secara 'one-off' untuk ditempatkan di negeri ini.

Beliau berkata pengambilan graduan Sarawak itu penting supaya memudahkan penempatan guru di negeri ini.

"STU memohon agar keutamaan diberi kepada graduan Sarawak untuk berkhidmat di Sarawak supaya memudahkan penempatan guru ke sekolah nanti," katanya kepada Utusan Borneo hari ini.

Adam juga berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat dan meneliti senarai graduan yang telah dilatih seperti dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA ) lain diberi penempatan memandangkan mereka mempunyai kepakaran serta latihan dalam bidang perguruan.

Tambahnya, STU juga berharap KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) menyediakan garis panduan permohonan yang jelas kepada calon agar tiada penyingkiran semasa pemilihan kerana tidak memenuhi syarat dan garis panduan permohonan.

"STU menyambut baik pengumuman Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkaitan pengambilan khas ini bagi menutup jurang kekurangan guru yang sudah sekian lama membelenggu pendidikan negara.

"STU berharap dengan pengambilan khas ini, semua sekolah di Sarawak akan mempunyai bilangan guru mencukupi berdasarkan peruntukan perjawatan," katanya sambil menambah ketika ini Sarawak kekurangan kira-kira 3,000 guru.

Beliau menambah pengambilan khas guru itu nanti akan memberi peluang kepada graduan di negeri ini yang masih belum mendapat pekerjaan tetap dan berminat menjadi pendidik menabur bakti kepada anak Sarawak.

"Ini adalah peluang yang sekali sahaja ditawarkan oleh SPP dan KPM bagi menyelesaikan masalah kekurang guru di sekolah seluruh negara.

"STU berharap semua kekosangan guru di Sarawal dapat diisi dengan pelaksanaan pengambilan khas secara 'one-off' ini. STU juga berharap KPM merujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi dalam urusan ini demi memastikan kejayaannya," katanya.

Dalam perkembangan lain Adam berkata STU memohon JPN Sarawak memberi pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan pertukaran guru yang memenuhi syarat ditetapkan dalam masa terdekat.

Ini ujarnya agar penempatan semula mereka nanti tidak menutup peluang para guru yang sudah lama bertugas di sekolah-sekolah tertentu berpindah ke sekolah atau stesen baharu.

BERNAMA hari ini melaporkan Radzi berkata KPM akan melaksanakan pengambilan khas secara 'one-off' seramai 18,702 pendidik, bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri.

Beliau berkata, permohonan pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 itu, akan dibuka mulai 7 Julai untuk membolehkan pendidik ditempatkan secara berperingkat di sekolah masing-masing bermula Oktober depan.

“Pengambilan guru secara ‘one-off’ dan besar-besaran ini bertujuan menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri, selain menjamin pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar ketika pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media secara maya, mengenai pengambilan khas itu hari ini.

Menurutnya, negeri yang terutamanya berdepan dengan kekurangan guru adalah Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor. 

Radzi berkata, pengambilan khas dibuat hasil perbincangan secara menyeluruh dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (​JPA) dan SPP.

Menurut Radzi, cabaran utama dalam pengambilan guru adalah kekurangan calon kelulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran.

“KPM perlukan sejumlah guru untuk mata pelajaran tertentu, tapi bekalan (guru) yang ada untuk subjek tersebut amat terhad. Sebaliknya, bekalan untuk mata pelajaran yang mana opsyennya telah penuh, mungkin lebih ramai.

“Dan disebabkan ketidakpadanan ini, jadi wujud keadaan sukar bagi KPM mengambil guru baharu untuk memenuhi kekosongan yang ada,” katanya.

Antara subjek dengan kekurangan guru yang tinggi di sekolah rendah ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, manakala di sekolah menengah ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.

  • oleh
  • Advertisement