Anda di sini

Arahan tepat, jelas perlu agar tiada penduduk tercicir daripada divaksin - Baru

Advertisement
 

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) digesa memberi arahan serta garis panduan yang tepat dan jelas bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada mendapat vaksin COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'Kelalan Baru Bian (gambar) berkata insiden membabitkan beberapa penduduk pribumi di Long San, Baram Miri yang diarah pulang sebaik tiba di pusat pemberian vaksin (PPV) di Baram kerana tidak mempunyai dokumen kewarganegaraan tidak seharusnya berlaku.

"Saya terkejut apabila terbaca laporan mengatakan penduduk pribumi di Long San yang tidak ada dokumen pengenalan diri ditolak daripada mendapatkan vaksin COVID-19 secara 'walk-in' di sebuah PPV di pedalaman Baram.

"Ini satu lagi contoh kepada apa yang telah saya katakan minggu lepas, perlunya arahan dan garis panduan yang jelas daripada JPBNS dan perlunya pegawai-pegawai di lapangan menggunakan budi bicara serta belas kasihan.

"Pegawai-pegawai yang ditugaskan dalam program imunisasi COVID-19 ini mesti ingat objektif misi mereka, iaitu melindungi mereka yang rentan dan petugas barisan hadapan ini mesti jelas mengenai perkara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau menambah, "Negara sedang berperang dengan musuh yang tidak kelihatan membunuh rakyat, virus COVID-19 tidak peduli mangsa seterusnya sama ada mempunyai dokumen pengenalan diri atau sebaliknya."

Beliau berkata penduduk kampung terbabit tinggal dalam kalangan rakyat Sarawak dan penduduk setempat khasnya, jika mereka dijangkiti seluruh komuniti berdepan risiko.

"Sekarang bukan masanya untuk pegawai-pegawai terbabit berdebat mengenai status IC (dokumen kewarganegaraan) seseorang, dengan menafikan seseorang divaksin, anda sebenarnya menyebabkan mereka terdedah kepada risiko dijangkiti COVID-19 dan meninggal dunia.

"Anda tidak ada hak untuk berbuat demikian... Tidak hairanlah kes (COVID-19) di Sarawak tidak menunjukkan penurunan ketara disebabkan insiden seperti ini," ujarnya.

Baru menambah, kini pasukan vaksinasi pergi ke pedalaman, beliau pasti ramai penduduk di sana berdepan masalah sama jika tiada arahan dan garis panduan yang jelas daripada JPBNS kepada pegawai ditugaskan di lapangan.

Menurutnya, ramai penduduk di konstituensi Ba'Kelalan tidak memiliki dokumen kewarganegaraan walaupun mereka lahir dan tinggal di sana untuk tempoh lama.

Beliau berkata setiap kampung mempunyai ketua kaum atau ketua masyarakat yang boleh mengesahkan penduduk masing-masing dan pengesahan mereka sudah memadai.

Pada Sabtu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam satu kenyataan mengatakan Jabatan Kesihatan Miri menafikan dakwaan itu.

"Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr Raviwharmman Packierisamy telah menafikan dakwaan dengan mengatakan pihaknya mempunyai mekanisme untuk menangani bagi mereka yang tidak memiliki MyKad yang datang untuk vaksinasi.

"Namun beliau akan menyiasat mengenai perkara ini," katanya.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perlindungan Baram Philip Jau mendakwa beberapa petani ditolak vaksinasi di klinik kerajaan Long San di daerah Baram.

Beliau mendakwa telah menerima banyak laporan daripada penduduk setempatyang mengatakan mereka dilarang memasuki klinik sekiranya mereka tidak membawa MyKad mereka.

Advertisement