Anda di sini

250 peserta seluruh Malaysia jayakan bengkel anjuran ESSoc UMS 

Advertisement
 Sebahagian peserta yang menyertai '365 With SPM Graduates Online Microsoft Excel Workshop' anjuran ESSoc UMS.
BENGKEL: Sebahagian peserta yang menyertai '365 With SPM Graduates Online Microsoft Excel Workshop' anjuran ESSoc UMS.

KOTA KINABALU: Seramai 250 pelajar membabitkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi, dan kursus asasi dari seluruh Malaysia menjayakan program '365 With SPM Graduates Online Microsoft Excel Workshop' baru-baru ini.

Program secara maya itu dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan (ESSoc) Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut melibatkan hampir 100 peserta dari Sabah.

Pengarah program Ernilla Zueatiqa Erwan berkata, Bengkel Microsoft Excel itu dianjurkan secara percuma bagi membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan untuk terus belajar secara atas talian sepanjang pandemik ini.

Menurutnya, penyertaan program amat memberangsangkan dengan dihadiri oleh penceramah jemputan Pegawai Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) Muhammad Rais Abd Halim.

"Beliau berpengalaman dan mahir dalam pengajaran perisian akademik turut berjaya menarik golongan pelajar untuk mendalami Microsoft Excel bermula dari 'scratch'.

"Meskipun program ini berlangsung selama dua hari dengan tiga slot, para peserta tetap tekun mempelajari dan bergiat aktif dalam komunikasi dua hala sepanjang program berlangsung. 

Program ini juga bertujuan memberi pengetahuan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM, STPM, matrikulasi, dan asasi mengenai kemahiran menggunakan Microsoft Office iaitu Excel," katanya di sini.

Beliau berkata, ia adalah kemahiran asas yang penting untuk dipelajari sebelum mereka memasuki fasa baharu dalam pengajian tinggi seperti matrikulasi, asasi, Tingkatan 6, diploma, dan ijazah sarjana muda.

Sementara itu, Penasihat ESSoc UMS yang juga Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Kejuruteraan UMS Dr. Mohd Azizul Ladin berkata, pihaknya amat gembira melihat para mahasiswa bersama-sama berusaha menyediakan platform ilmu pengetahuan kepada pelajar yang terlibat bagi persediaan untuk menempuhi alam pengajian tinggi.

"Para peserta juga begitu tertarik dengan program ini dan memberi kerjasama penuh kepada pengajar.

"Saya berpuas hati terhadap pelaksanaan program ini dan berharap dapat melihat lebih banyak program ESSoc bersama-sama masyarakat seperti yang sedemikian pada masa hadapan," jelasnya. 

Presiden ESSoc UMS Nur’Ain Ismail berkata, kemahiran mengendalikan Microsoft Excel bukan sesuatu yang umum seperti MS Word.

Sehubungan itu katanya, menerusi program itu, banyak petua dan perkongsian yang sangat membantu serta memberi manfaat tidak kira kepada pelajar ijazah sarjana muda ataupun SPM malah guru-guru dan pensyarah.
 

Advertisement