Anda di sini

Salman Khan dalam filem ‘Radhe: Your Most Wanted Bhai’

Advertisement
 

ISTIMEWA untuk peminat filem Bollywood yang tengah bosan duduk di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Salman Khan kembali beraksi di layar perak dengan filem terbaharu lakonan beliau berjudul ‘Radhe: Your Most Wanted Bhai’.

Filem yang ditunggu-tunggu ramai peminat Bollywood ini dibawakan MSK Film Production Sdn Bhd dan KS Movie Sdn Bhd dengan kolaborasi Zee Studios.

Kali ini, Salman Khan bukan saja menjadi hero dalam filem penuh aksi tetapi dia bertindak sebagai produser bersama Sohail Khan dan Atul Agnihotri.

Diarahkan Raja Tari, Prabhudeva, peminat berpeluang melihat aksi Salman Khan bergandingan dengan aktres jelita, Disha Patani. Tidak ketinggalan, aktor Jackie Shroff dan Randeep Hooda turut memainkan peranan penting dalam filem ini.

‘Radhe: Your Most Wanted Bhai’ mengisahkan bagaimana kes jenayah membabitkan sindiket dadah yang merosakkan golongan remaja terus meningkat di Mumbai, ditangani pegawai polis bernama Radhe lakonan Salman Khan.

Kehebatan Radhe dalam menyelesaikan kes jenayah dengan caranya sendiri membuatkan penjenayah berasa gerun sehingga sindiket dadah tersebut berjaya ditumpaskan.

 

Pengarah MSK Group, Saradha Sivalingam Kalai berkata, “MSK Film Production Sdn Bhd bersama anak syarikat kumpulan yang menerajui syarikat pengedaran dan produksi filem yang berpangkalan di Malaysia dan Singapura berbangga meneruskan usaha mengedarkan filem antarabangsa dari seluruh dunia menerusi pelbagai platform sejak lebih 20 tahun lalu.

“Sebagai salah satu peneraju pengedaran filem antarabangsa, hak cipta filem kami terbukti memberi keuntungan kepada subpengedar di seluruh dunia dan kami meneruskan dengan menjaga hubungan yang harmoni bersama pemamer antarabangsa, stesen TV, OTT dan platform digital.

“Ia suatu yang imperatif apabila kami bersama dan fikir jalan penyelesaian terbaik untuk sinema ketika industri filem berdepan situasi pandemik COVID-19. Kami akan terus memberi sokongan kepada pengusaha pawagam dengan menayangkan filem di pawagam sedaya boleh dan memastikan ia mematuhi peraturan dan protokol yang dinyatakan oleh kerajaan,” katanya.

Ujarnya, pihaknya begitu teruja bekerjasama dengan Zee Studios untuk membawa filem ‘Radhe: Your Most Wanted Bhai’ yang dijangka menjadi filem pecah panggung di Malaysia dan Brunei.

“Kami teruja membawa penonton kembali ke pawagam menerusi kerja-sama dengan Zee Studios kali ini agar filem ini dapat mewujudkan atmosfera yang menyeronokkan,” katanya.

Bagi peminat yang menantikan tayangan filem ‘Radhe: Your Most Wanted Bhai’, filem itu kini sedang ditayangkan menerusi platform Astro First dan tonton CINEMA (cinema.tonton.com.my).

Maklumat lanjut mengenai filem ini boleh dilihat di laman sesawang www.mskfilm.com.my.

Advertisement