Anda di sini

Rokok seludup bernilai RM2.046 juta dirampas

Advertisement

GEORGE TOWN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu merampas 2.7 juta batang rokok disyaki di-seludup bernilai RM2.046 juta termasuk cukai, dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Jalan Changkat, Nibong Tebal dekat sini tiga hari lepas.

Pemangku Komandernya Supt Shoppri Saad berkata, serbuan pada jam 7.30 malam menerusi Ops Kontraban itu dilakukan susulan maklumat awam dan risikan.

“Semasa dalam perjalanan ke gudang itu, anggota PPM menyedari telah diekori beberapa kenderaan disyaki tonto.

“Sejurus tiba di situ (gudang), terdapat sebuah kereta yang kemudian memecut laju meninggalkan kawasan itu, dipercayai kerana menyedari kehadiran anggota PPM, dan tidak dapat dikesan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Shoppri berkata, hasil pemeriksaan di dalam gudang menemukan 280 kotak merangkumi 240 kotak rokok putih dan 40 kotak rokok kretek, keseluruhannya berisi 2.7 juta batang rokok pelbagai jenama, disyaki tidak bercukai.

Beliau berkata, anggota PPM mengintip dan memerhati kawasan gudang itu kira-kira sejam, namun tiada individu tampil ke premis tersebut sebelum merampas kesemua 280 kotak berisi rokok berkenaan.

Shoppri berkata, pihaknya percaya kesemua rokok itu untuk pasaran sekitar negeri wilayah utara dan tidak menolak kemungkinan rokok diseludup masuk dari negara jiran.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan pihaknya juga aktif mengesan sindiket terlibat, katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sindiket itu atau sebarang kegiatan penyeludupan agar me-nyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah Satu di talian 04-6558222. — Bernama

Advertisement