Anda di sini

Pengarah filem Malaysia terpilih sebagai menti di BIFAN

Advertisement
Ray, 44, sebelum ini pernah memenangi anugerah pada Asian Cinematography Awards di Filipina dan Singapore World Film Carnival melalui filem Belaban Hidup. - Gambar Facebook 

KUALA LUMPUR: Pengarah filem kelahiran Sarawak, Ray Lee telah terpilih menjadi menti di Bucheon International Fantastic Film School (BIFAN), menurut Persatuan Pengarah Filem Malaysia menerusi satu kenyataan hari ini.

Program yang berkonsepkan mentor menti ini memilih 35 orang peserta dari seluruh dunia, dan Ray merupakan satu-satunya peserta dari Malaysia.

“Saya terima tawaran ini dan berjanji akan menaikkan nama Malaysia. Saya amat teruja menerima tawaran di Fantastic Film School yang memang pakar dalam ‘genre’ filem seram dan ngeri,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Ray, 44, sebelum ini pernah memenangi anugerah pada Asian Cinematography Awards di Filipina dan Singapore World Film Carnival melalui filem Belaban Hidup.

Belaban Hidup turut tersenarai dalam Pemilihan Rasmi dan ditayangkan di Russia International Horror Film Awards dan Macabo Mexico City International Horror Film Festival.

BIFAN yang dikendalikan oleh Network of Asian Fantastic Films (NAFF) ialah program untuk pendidikan filem genre seram yang pertama di dunia.

Menurut kenyataan BIFAN di laman sesawangnya, sesi ke-25 program yang dijadualkan pada 8 hingga 14 Julai itu akan dijalankan secara dalam talian susulan pandemik COVID-19. - Bernama 

Advertisement