Anda di sini

Naskhah adaptasi ‘Love, Elsa’ taruhan terbaharu Astro Ria

Advertisement
 

DRAMA bersiri terbaharu Astro, ‘Love, Elsa’ ialah sebuah karya adaptasi novel dengan judul yang sama nukilan Acik Lana yang mengangkat genre fantasi cinta terbitan syarikat produksi Juita Viden Sdn Bhd.

Drama 24 episod ini diarahkan oleh pengarah prolifik Michael Ang serta turut menampilkan Nadia Khan dan Mamu Vies selaku penulis skrip.

Antara barisan pelakon yang membintangi drama ini termasuklah Zul Ariffin, Uyaina Arshad, Riz Amin, Ramona Zam Zam, Badrul Muhayat, Ku Faridah, Zeera Azizi, Ikhram Juhari, Azhar Amir, Mona Allen, Iman Suhana, Nasz Sally, Mustapha Kamal  dan ramai lagi.

Drama ‘Love, Elsa’ menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 15 Jun menerusi slot Megadrama secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Drama ‘Love, Elsa’ mengisahkan tentang Ammara (lakonan Uyaina Arshad), seorang gadis yang mempunyai kelebihan untuk mengembara ke masa silam orang yang disentuhnya. Kesannya Ammara akan jatuh sakit selepas berlaku sentuhan.

Disebabkan penyakit misteri ini, ayahnya menempatkan Ammara di satu kawasan yang dikawal ketat keselamatannya. Ammara kemurungan hidup seorang diri selepas ibunya meninggal dan disisihkan oleh ayahnya sendiri.

Kemunculan Ridza Kim (lakonan Zul Ariffin) yang berpindah bersebelahan rumahnya, mengubah hidup Ammara. Tanpa sengaja Ammara tersentuh Ridza Kim dan melihat masa silam lelaki itu. Ammara menggunakan kelebihannya untuk membantu menyelesaikan kes pembunuhan keluarga Ridza Kim dan lahirnya perasaan cinta.

 Drama ‘Love, Elsa’ menggandingkan Zul Ariffin dan Uyaina Arshad kini bersiaran di slot Megadrama setiap hari Isnin hingga Khamis. — Gambar Astro
TERBAHARU: Drama ‘Love, Elsa’ menggandingkan Zul Ariffin dan Uyaina Arshad kini bersiaran di slot Megadrama setiap hari Isnin hingga Khamis. — Gambar Astro

Pengurus Saluran Astro Ria Emarina Kamal dalam satu kenyataan rasmi daripada Astro berkata, “Berbeza dengan drama cinta yang biasa disajikan kepada penonton sebelum ini, keunikan naskhah ‘Love, Elsa’ terletak kepada konsep kisah cinta santai dengan suntikan elemen magis yang sering diketengahkan dalam drama Korea atau istilah lebih dekat, K-Drama.

“Penceritaan kisah cinta fantasi seperti ini pastinya memberi kelainan kepada para penonton yang pastinya tertunggu-tunggu buah tangan terbaharu daripada kami selepas berakhirnya drama sensasi ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’.

“Kesemua barisan pelakon yang membintangi drama ini juga telah memainkan peranan yang cukup bermakna dengan lakonan mantap yang mampu mengagumi khalayak penonton

melalui pembawaan watak yang cukup berkesan. Drama ‘Love, Elsa’ juga menjanjikan paparan yang menarik dengan olahan plot penceritaan yang menyeronokkan.

“Tambah menarik lagi, single terbaharu ciptaan penyanyi dan pelakon terkenal Marsha Milan featuring Fanzi Ruji Khan berjudul ‘Ika Noh’ juga turut diangkat menjadi lagu tema untuk drama bersiri ini.

“Kami berharap gabungan kesemua elemen-elemen ini mampu meletakkan ‘Love, Elsa’ sebagai sebuah drama yang paling ditunggu sekaligus mencetuskan fenomena yang tersendiri dikalangan peminat drama Melayu. Semoga terhibur!”

Sementara itu, Michael Ang selaku Pengarah Drama ‘Love, Elsa’ pula berkata, “Keunikan drama ‘Love, Elsa sebenarnya terletak kepada ‘chemistry’ lakonan di antara Zul Ariffin dan Uyaina yang merupakan penggerak utama yang memberi warna kepada drama ini.  

“Pada mulanya saya agak gementar kerana ‘chemistry’ di antara mereka agak lambat untuk muncul. Namun perasaan tersebut tidak lama kerana kegusaran tersebut terus hilang apabila kedua-dua teraju utama saya saling ‘memberi’ dan memudahkan keseluruhan penggambaran.

“Begitu juga dengan barisan pelakon lain yang masing-masing memberikan kerjasama penuh untuk mendapatkan hasil lakonan yang mantap.

“Sepanjang penggam-baran dijalankan, pelbagai cabaran pahit manis telah kami tempuhi bersama sebagai satu pasukan.

“Cabaran paling getir adalah kekangan masa dan keselamatan. Pihak produksi juga harus mengejar masa yang terhad kerana kesibukan jadual kerja Zul dan Uyaina yang banyak terikat dengan komitmen kerja yang lain.”

Tambahnya, “Kekangan seperti ini memberi impak besar daripada segi jadual dan lokasi. Walau bagaimanapun, kami bersyukur kerana segala cabaran dapat diatasi dan penggambaran juga dapat diselesaikan seperti yang dirancang.”

Advertisement