Anda di sini

KPT komited bantu Pelan Pemulihan Negara tangani COVID-19

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) komited untuk membantu Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik COVID-19.

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus), sebanyak RM80 juta telah diperuntuk bagi meningkatkan kapasiti katil serta peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi rawatan COVID-19 di tiga Hospital Pengajar Universiti (HPU).

Kenyataan itu menyebut ia melibatkan HPU Universiti Teknologi MARA (UiTM), HPU Universiti Putra Malaysia (UPM) dan HPU Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Peruntukan tambahan ini juga akan dapat memperkasa peranan HPU yang telah sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 sejak tahun 2020.

“Sejak Februari 2020 hingga 31 Mei 2021, lima HPU telah terlibat secara langsung dalam merawat pesakit COVID-19 iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz di UKM (HCTM UKM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM) dan Hospital Universiti Teknologi Mara (HUiTM) Sungai Buloh.

“Kesemua HPU ini berstatus hospital hibrid COVID-19 yang mana pesakit bukan COVID-19 masih terus mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan di sini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan KPT turut membantu kerajaan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan melalui pewujudan Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT).

Ketika ini, terdapat 18 PPV IPT beroperasi di seluruh negara dengan empat lagi akan dibuka bermula 21 Jun ini iaitu di Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, UiTM Shah Alam dan Hospital UiTM Puncak Alam.

Sebanyak 19 PPV IPT lagi dalam perancangan untuk dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan PPV IPT ialah 41.

Setakat 11 Jun lepas, seramai 134,932 orang telah menerima vaksin di PPV IPT.

“Peruntukan yang disediakan kepada KPT ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam usaha berterusan mempertingkat kapasiti kesihatan awam di negara ini.

“KPT juga mengucapkan terima kasih kepada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) atas peluang kerjasama kepada IPT untuk bersama-sama menangani wabak COVID-19 di negara ini. KPT yakin dan komited bahawa inisiatif bersama ini mampu melandaikan jangkitan COVID-19,” menurut kenyataan itu. - Bernama 

Advertisement