Anda di sini

Rainforest World Music Festival 2021 dianjur secara maya

Advertisement
 Persembahan RWMF tahun ini akan disiarkan melalui Shopee Live dari jam 6 petang, memberikan akses kepada berjuta-juta rakyat di seluruh negara untuk menikmati festival muzik ini dari keselesaan rumah mereka sendiri.
SECARA MAYA: Persembahan RWMF tahun ini akan disiarkan melalui Shopee Live dari jam 6 petang, memberikan akses kepada berjuta-juta rakyat di seluruh negara untuk menikmati festival muzik ini dari keselesaan rumah mereka sendiri.

ACARA berprestij tahunan yang meraikan budaya dan warisan melalui gubahan muzik indah Rainforest World Music Festival (RWMF) kembali membawakan keseronokan selama tiga hari dari 18 hingga 20 Jun ini dan disiarkan secara maya melalui Shopee Live berikutan penobatan Shopee sebagai Rakan E-dagang Rasmi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Datu Hj Salleh Askor, berkata, kerjasama bersama Shopee ini membolehkan pihaknya untuk terus mempersembahkan acara ini walaupun dengan cara yang berbeza.

“Walaupun kami tidak dapat mewujudkan pengalaman dan suasana persembahan secara langsung, kami berharap para peminat dan rakyat Malaysia masih dapat menikmati acara yang menyeronokkan ini bersama keluarga mereka di rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain RWMF, Borneo Jazz Festival (BJF) tahun ini yang akan berlangsung pada hujung minggu berikutnya turut akan disiarkan melalui Shopee Live.

Para penonton akan dihiburkan oleh barisan pemuzik jazz termasuk Clinton Jerome Chua, O-Ha Soul Band, Nisa Addina, Ta’Dan dan ‘Prince of Borneo’ Pete Kallang, dari 25 hingga 27 Jun pada jam 6 petang.

Untuk mewujudkan pengalaman maya yang lebih menarik lagi, Lembaga Pelancongan Sarawak telah membuka kedai rasminya di Shopee untuk menampilkan produk-produk dari kedua-dua acara RWMF dan BJF.

Ini termasuk baju-T edisi terhad RWMF dan BJF, pelitup muka batik linut edisi terhad, pelitup muka bercorak batik edisi terhad dan produk-produk istimewa lain dari Bumi Kenyalang.

Para peminat juga dapat menikmati baucar kedai dengan potongan harga hingga RM8, subsidi penghantaran hingga RM13 dan Pulangan Tunai Syiling Shopee terhad kepada RM5 apabila mereka membeli dari kedai tersebut.

Sementara itu, Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata, “RWMF dan BJF yang dinanti-nantikan akan berlangsung secara maya buat pertama kali dan Shopee amat teruja untuk menyiarkan acara-acara muzik ini di Shopee Live.”

“Sokongan kami kepada bakat-bakat tempatan tidak terhad kepada teknologi sahaja, malah kami turut akan mempamerkan produk-produk unik dari Sarawak.

“Memandangkan kedua-dua acara muzik ini berlangsung seiring dengan 7.7 Jualan Tengah Tahun kami, kami akan mengambil peluang ini untuk memacu jualan bagi para penjual Sarawak dalam tempoh ini, di mana semua orang dapat berhibur dengan pengalaman maya RWMF dan BJF sambil menikmati laksa Sarawak, kolo mee dan teh tiga lapis di rumah.

“Masukkan sahaja perkataan ‘Sarawak’ di bar carian Shopee untuk menemui lebih banyak produk. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Lembaga Pelancongan Sarawak serta semua pemuzik untuk pengalaman maya ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai RWMF serta BJF di Shopee Live, dan barangan edisi terhad, layari https://shopee.com.my/m/rwmf-shopee-live.

Advertisement