Anda di sini

Lelaki cuba seludup PATI ditangkap di SJR Lundu

Advertisement
 

LUNDU: Cubaan seorang lelaki menyeludup masuk dua pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dipatahkan dalam sekatan jalan raya di  Kilometer 6 Jalan Lundu-Bau, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata suspek berusia 27 tahun itu semasa kejadian memandu sebuah kereta dan ditahan untuk pemeriksaan sekitar jam 7 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat dua lagi lelaki di dalam kereta yang dilihat mencurigakan.

"Siasatan lanjut mendapati suspek yang merupakan warga tempatan disyaki cuba menyeludup masuk dua PATI terbabit yang telah masuk ke negeri ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

"Ini kerana kedua-dua PATI terbabit didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah memasuki negeri ini," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ketiga-tiga suspek kemudian ditangkap dan kereta yang digunakan juga dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26J ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Ketiga-tiga suspek juga telah dibawa menjalani calitan COVID-19 dan mereka disahkan negatif sebelum ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk siasatan lanjut," katanya.

Advertisement