Anda di sini

Penjawat awam rugi RM10,000 selepas serah nombor TAC

Advertisement

KOTA BHARU: Seorang pemandu di sebuah jabatan kerajaan di sini, kerugian RM10,000 selepas ditipu seorang wanita dikenali sebagai ‘Puan Ikzan’ berkaitan penggunaan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) perbankan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan Supt Ahmad Azizul Mohamed berkata berdasarkan laporan, mangsa yang berusia 50-an telah menerima mesej WhatsApp daripada satu talian yang tidak dikenali pada Jumaat lepas.

Beliau berkata suspek telah memperkenalkan diri sebagai seorang wanita bernama ‘Puan Ikzan’ dan menyatakan dia telah tersalah hantar nombor TAC perbankan Internet ke talian pengadu dan meminta mangsa menghantar semula kepadanya jika ada.

“Mangsa telah menyemak telefon miliknya dan mendapati memang terdapat khidmat pesanan ringkas (SMS) nombor TAC diterimanya dan tanpa berfikir panjang mangsa telah menyerahkan SMS tersebut kepada suspek.

“Selepas itu, mangsa menerima lagi beberapa SMS nombor TAC dan mangsa telah menyerahkan kesemua mesej itu kepada suspek. Mangsa hanya menyedari wang di dalam akaun bank miliknya telah berkurangan sebanyak RM10,000 semasa membuat semakan baki akaun secara dalam talian semalam (kelmarin),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Susulan kejadian itu, polis telah menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Katanya, kegiatan penipuan mendapatkan nombor TAC adalah antara jenayah siber menggunakan kemudahan telekomunikasi yang berlaku apabila mangsa tidak berhati-hati dan suspek menggunakan kata-kata desakan seperti berada dalam kecemasan bagi mendapatkan segera nombor TAC berkenaan sebelum luput masa sah yang ditetapkan oleh pihak bank.

“Oleh yang demikian, orang ramai diseru supaya lebih berwaspada dan berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa yang seterusnya.

“Antara langkah yang boleh diambil untuk memastikan diri tidak menjadi mangsa kepada kes seumpama ini ialah dengan memuat turun secara percuma aplikasi telefon pintar ‘Check Scammers CCID’ untuk membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang digunakan sama ada pernah terlibat dalam kes-kes jenayah komersial,” katanya.

Beliau berkata orang ramai juga boleh membuat semakan secara terus di balai polis berhampiran berkenaan mesej atau panggilan telefon yang diterima dengan menghubungi ‘CCID Scam Response Centre’ menerusi talian 03-26101559 dan 03-26101599 yang telah ditubuhkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman untuk membuat pertanyaan berkaitan jenayah komersial termasuk penipuan siber. — Bernama

Advertisement