Anda di sini

NADMA terima sumbangan peralatan ICT, perubatan daripada Amerika Syarikat

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerima sumbangan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perubatan termasuk kelengkapan perlindungan diri (PPE) bernilai lebih RM1 juta daripada Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Menurut NADMA dalam kenyataan hari ini, sumbangan itu akan diagihkan dalam masa terdekat ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 serta stesen kuarantin yang mempunyai keperluan kritikal terhadap barangan tersebut.

Sumbangan AS yang disalurkan melalui Bahagian Kemanusiaan Luar Komando Indo-Pasifik AS (USINDOPACOM) dan Pejabat Bencana serta Bantuan Awam (OHDACA) adalah sumbangan fasa kedua dari AS ke negara ini sebagai menyokong tindak balas Malaysia menangani pandemik COVID-19.

Pada Mac lepas, Duta AS ke Malaysia Brian McFeeters telah menyerahkan sumbangan bagi fasa pertama kepada NADMA yang terdiri daripada alat ujian COVID-19 dan PPE berjumlah RM309,000.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, NADMA mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang telah diberikan di kala negara sedang menghadapi gelombang ketiga penularan COVID-19. Ia merupakan tanda solidariti dan hubungan kukuh antara dua negara,” menurut NADMA. - Bernama

Advertisement