Anda di sini

Fadillah tiada gejala, terus jalani kuarantin di rumah

Advertisement
Fadillah Yusof (gambar fail)
Fadillah Yusof (gambar fail)

KUCHING: Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini memaklum beliau daam keadaan baik pada hari kelima menjalani kuarantin di rumah setelah disahkan positif COVID-19 pada 10 Jun lalu.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu dalam hantaran Facebooknya juga memberitahu beliau juga tidak mengalami sebarang gejala dengan tahap oksigen kekal 97/98.

"Hari ini Selasa 15 Jun 2021, masuk hari kelima saya menjalani kuarantin di rumah setelah disahkan positif COVID-19 pada 10 Jun 2021. Alhamdulillah sehingga kini saya berada dalam keadaan baik, tiada sebarang gejala dengan tahap oksigen kekal 97/98. Selera makan pun bertambah. Jadi kenalah saya melakukan workout (bersenam) untuk kekal cergas," katanya.

Fadillah dalam pada itu berterima kasih atas doa serta ucapan semua pihak.

"Dengan izin Allah dan berkat doa semua, Alhamdulillah keadaan saya baik dan stabil. Saya bersyukur dan redha dengan takdir Allah. Moga kita semua diberikan perlindungan dan kesejahteraan oleh Allah SWT," ujarnya.

Beliau juga mengajak semua rakyat berdoa agar wabak COVID-19 dapat dipulihkan dan negara segera bebas daripada pendemik tersebut.

"Marilah kita semua terus mematuhi SOP (prosedur operasi standard)  ditetapkan dan bagi yang belum mendaftar untuk suntikan vaksin, daftarlah segera," tambahnya.

Pada Jumaat lepas, Fadillah dimaklumkan positif COVID-19 setelah menerima keputusan ujian saringan awal sehari sebelum itu.
 

Advertisement