Anda di sini

Dakwaan RELA daftar anggota tanpa kebenaran tidak benar

Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menafikan dakwaan yang mereka menggunakan data peribadi seseorang untuk didaftarkan sebagai anggotanya secara automatik, tanpa mendapat kebenaran individu itu.

RELA dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya tidak akan membuat perkara itu kerana perbuatan itu bercanggah dengan perkara yang dinyatakan di bawah Seksyen 6(1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“RELA maklum akan kegusaran orang ramai dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman, bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta 752 (Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia) berkuat kuasa.

“RELA tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu, yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu, tanpa mendapat kebenaran individu terbabit,” kata kenyataan itu.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai dakwaan beberapa individu mendapati maklumat peribadi mereka didaftarkan sebagai anggota RELA secara automatik, di dalam sistem MyRELA.

Sehubungan itu, bagi mereka yang mendapati telah didaftarkan sebagai anggota RELA dan ingin menamatkan keanggotaan, boleh menghubungi talian 03-8870 3770 dan emel ke [email protected] untuk membatalkan keanggotaannya.

Menerusi kenyataan sama, RELA turut memaklumkan jabatan itu dalam usaha melaksanakan program pemutihan keanggotaan, di mana anggota yang tidak aktif dan telah mencapai tempoh lima tahun akan ditamatkan keanggotaan.

Bagaimanapun, program pemutihan keanggotaan berdasarkan Seksyen 9 Akta itu digantung sementara, memandangkan RELA sedang menumpukan usaha untuk melawan wabak COVID-19.

“Bagi anggota yang masih berminat untuk menyambung keanggotaan, boleh berbuat demikian dengan memaklumkan secara bertulis kepada Ketua Pengarah RELA,” menurut kenyataan itu lagi. - Bernama 

Advertisement