Anda di sini

Bekas tentera ‘ketagih’ derma darah, juara 100 kali di N.Sembilan

Advertisement
 Dr Firdaus Che Ros (kiri) menyampaikan cenderahati kepada penderma darah tertinggi Nor Aziman iaitu sebanyak 100 kali menderma darah ketika ditemui Bernama sempena Hari Derma Darah Sedunia di Pusat Derma Darah di Seremban, semalam. — Gambar Bernama
TANDA PENGHARGAAN: Dr Firdaus Che Ros (kiri) menyampaikan cenderahati kepada penderma darah tertinggi Nor Aziman iaitu sebanyak 100 kali menderma darah ketika ditemui Bernama sempena Hari Derma Darah Sedunia di Pusat Derma Darah di Seremban, semalam. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Meskipun telah meninggalkan pasukan pertahanan negara sejak enam tahun lepas, seorang bekas tentera di Kem Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Batalion 15, Senawang di sini tetap mahu berjasa kepada negara melalui caranya tersendiri iaitu dengan menjadi seorang penderma darah.

Nor Aziman Idris, 48, berkata detik pendorongnya menderma darah pada 29 tahun lepas bermula apabila mereka yang dalam perkhidmatan tentera diwajibkan untuk menderma darah dan sejak itu beliau tidak pernah terlepas melakukannya setiap tiga bulan sekali.

Malah, bapa lima anak itu memegang rekod penderma darah terbanyak di Negeri Sembilan pada tahun ini dengan catatan 100 kali sejak 1992.

“Pertama kali saya derma darah adalah ketika berumur 20 tahun di dalam kem askar dan hingga kini saya lakukannya, kadang-kadang kalau tak pergi derma rasa macam berhutang, tak selesa, saya seperti ‘ketagih’ untuk menderma darah.

“Kita nak derma barangan atau wang ringgit mungkin tak mampu, tapi dengan sumbangan kecil ini, diharapkan mampu membantu menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya kepada Bernama selepas menerima penghargaan platinum di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini semalam.

Pemilik darah jenis O ini berkata beliau kini menderma darah secara aferesis iaitu pendermaan plasma dan platelet atau kedua-duanya sekali dengan menggunakan mesin aferesis dan darah merah akan dimasukkan kembali ke dalam badan penderma.

Dalam pada itu, anak kelahiran Johor yang sudah lama menetap di Negeri Sembilan ini berkata beliau berhasrat menjadi penderma darah sehingga akhir hayatnya.

“Selain membantu orang lain, ia juga menjadikan diri makin sihat selain saham untuk akhirat, dan saya harap ia akan menjadi dorongan kepada orang lain untuk turut sama menderma darah,” katanya.

Berkongsi kisah sama, bekas tentera di Rejimen 2 Armor Diraja Kem Sunggala Port Dickson, Arumugam Kuppusamy, 55, berkata dakwaan bahawa menderma darah menyebabkan gemuk mendadak atau dijangkiti penyakit lain adalah tidak benar sebaliknya ia memberi kebaikan kepada tubuh.

Justeru, pemandu di Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Seremban yang pertama kali menderma darah pada usia 23 tahun itu menasihatkan orang ramai supaya tidak takut untuk melakukannya selain pelbagai keutamaan diberikan kepada penderma darah.

“Pencetus kepada saya untuk menderma darah adalah kerana saya belum dikurniakan cahaya mata walaupun telah lama berkahwin ketika itu, jadi saya fikir lebih baik saya derma darah supaya badan lagi sihat dan seterusnya dapat membantu orang lain,” katanya yang kini mempunyai tiga anak yang turut mengikuti langkahnya itu.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Transfusi HTJ Dr Firdaus Che Ros berkata pihaknya menerima 1,000 ke 1,200 beg darah sebulan melalui pendermaan darah oleh orang ramai dengan lebih 20 individu menderma dalam sehari.

“Individu paling muda yang menderma berumur 17 tahun manakala paling tua ialah 60 tahun...kepada yang belum menderma darah silalah tampil berbuat demikian, jangan ragu-ragu kerana kita melakukan amalan dengan prosedur operasi standard yang ketat,” katanya.

Hari Penderma Darah Sedunia disambut pada 14 Jun setiap tahun bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menderma darah dengan tema pada tahun ini ialah ‘Give Blood and Keep the World Beating’. — Bernama

Advertisement