Anda di sini

Semua vaksin tetap berkesan tanpa mengira jenama

Advertisement
 Jururawat menyediakan picagari semasa program PICK fasa pertama untuk petugas barisan hadapan di Dewan Sri Kenyalang UPMKB sebelum ini. — Gambar arkib UB
SIAP: Jururawat menyediakan picagari semasa program PICK fasa pertama untuk petugas barisan hadapan di Dewan Sri Kenyalang UPMKB sebelum ini. — Gambar arkib UB

BINTULU: Vaksin COVID-19 yang diberikan kepada para penerima dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mempunyai fungsi sama untuk memperkuatkan imun tubuh seseorang daripada jangkitan wabak COVID-19.

Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung berkata, sama ada vaksin Sinovac atau Pfizer BioNTech, kedua-duanya mempunyai fungsi sama.

“Sekiranya penerima ingin memilih jenis vaksin yang dimahukan, mereka boleh menolak vaksin yang diberikan melalui aplikasi MySejahtera dan mereka akan diberi temu janji baharu,” ujarnya semasa diminta mengulas mengenai penerima yang ingin memilih jenama vaksin.

Dr Chung ditemui semasa mengadakan tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di restoran Dinner World, Bintulu Sentral dekat sini, kelmarin.

Beliau berkata, dalam MySejahtera ada infografik yang menunjukkan cara-cara menukar temu janji untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Pada masa sama katanya, tidak timbul masalah kehabisan stok vaksin COVID-19 atau vaksin tidak mencukupi sebaliknya penerima vaksin boleh datang ke PPV mengikut masa yang telah ditetapkan dalam temu janji.

“Kita harap mereka yang menerima suntikan vaksin COVID-19 datang ke PPV mengikut masa ditetapkan, tidak perlu datang terlalu awal serta tidak perlu bimbang dengannya memandangkan vaksin itu telah ada disediakan,” ujarnya.

Beliau berkata, kehadiran penerima vaksin terlalu ramai tanpa mengikut masa temu janji yang ditetapkan menyebabkan keadaan di PPV sesak dan tidak teratur.

Katanya, penetapan masa itu dibuat kerana pihaknya tidak mahu berlaku penularan wabak COVID-19 semasa para penerima menerima suntikan vaksin di PPV.

  • oleh
  • Advertisement