Anda di sini

Semak jika ramai warga emas belum dapat tarikh temu janji vaksin COVID-19

Advertisement
LEE
LEE

KUCHING: Pihak berkuasa digesa menyemak jika masih ramai golongan warga emas belum mendapat tarikh temu janji vaksin COVID-19 meskipun mereka sudah membuat pendaftaran sejak Februari tahun ini.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini berikutan terdapat aduan dan rungutan daripada golongan itu yang masih belum divaksin dan mendapat tarikh temu janji mereka.

Menurut beliau, perkara itu tidak patut berlaku kerana warga emas yang tergolong dalam fasa kedua harus diberikan keutamaan sebelum bermulanya fasa ketiga.

“Pihak berkuasa harus mengutamakan pemberian kepada warga emas terlebih dahulu kerana mereka adalah golongan rentan dan harus dilindungi.

“Sekiranya ada daripada golongan ini yang terlepas tarikh temu janji mereka, diharapkan kerajaan dapat memanggil semula dan membantu golongan ini untuk memperoleh vaksin mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagi membantu warga emas yang belum dipanggil untuk menerima vaksin, Lee mencadangkan supaya semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mewujudkan lorong khas untuk golongan ini.

Ia katanya, untuk memudahkan golongan ini mendaftar dan menerima vaksin secara terus hanya dengan melihat ke aplikasi MySejahtera mereka.

“Dengan cara ini, golongan warga emas akan segera mendapat suntikan vaksin mereka dan urusan mereka dipermudahkan.

“Bukan sahaja memudahkan golongan ini untuk menerima vaksin bahkan membantu kita memberi perlindungan kepada warga emas untuk menerima suntikan dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau menambah, pada masa ini proses pemberian vaksin sedang berjalan dengan lancar.

“Setiap hari, jumlah dos yang disuntik menunjukkan rangsangan yang sangat baik. Justeru, pujian harusnya diberikan kepada semua yang terlibat bagi memastikan proses vaksinasi yang berlangsung kini berjalan dengan lancar.

“Ini akan membolehkan kita semua mencapai sasaran mewujudkan imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Sehubungan itu, Lee berharap agar bekalan vaksin sentiasa mencukupi dan tidak terganggu proses kesampaiannya.

“Ini kerana gangguan bekalan vaksin akan menjejaskan sasaran imuniti kelompok negara ini,” ujarnya.

Advertisement