Anda di sini

Parti liar ‘ganti’ pusat hiburan tutup

Advertisement
 Aidi menunjukkan bungkusan serbuk jus disyaki campuran ekstasi pada sidang media di IPK Sarawak hari ini.
Aidi menunjukkan bungkusan serbuk jus disyaki campuran ekstasi pada sidang media di IPK Sarawak hari ini.

KUCHING: Seramai 41 individu termasuk 10 warga asing diberkas dalam enam serbuan sempena Ops Parti Liar yang dijalankan di Kuching dan Padawan sepanjang tempoh 29 Mei hingga hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, suspek-suspek terdiri daripada 27 lelaki dan 14 wanita yang berusia antara 18 hingga 42 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dadah. 

Beliau menjelaskan, memandangkan pusat-pusat hiburan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 ini, trend penyalahgunaan dadah telah bertukar kepada penganjuran parti-parti liar yang diadakan secara tertutup di kediaman-kediaman bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa. 

"Namun, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak telah berjaya mengesan beberapa lokasi yang dikenal pasti menjadi tempat penganjuran 'private party' tersebut.

"Satu operasi khas 'Ops Parti Liar' dilaksanakan oleh JSJN Sarawak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching di Kuching dan Padawan yang mana sepanjang tempoh ini, sejumlah enam serbuan dibuat dan menahan seramai 41 orang atas pelbagai kesalahan dadah," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Tambah Aidi, daripada tangkapan itu, dua kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, tiga kes di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 juga tiga kes dan 24 kes di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Katanya, jumlah rampasan sepanjang tempoh itu juga, pil ekstasi dua biji, ketamin 9.5 gram, Erimin 5 tiga biji dan serbuk jus campuran ekstasi 409.65 gram, keseluruhan dianggarkan bernilai RM7,000.

Hasil daripada risikan dan maklumat diperolehi daripada Ops Parti Liar yang dijalankan, Aidi mendedahkan, JSJN Sarawak melancarkan satu operasi khas 'Ops Black Cat' pada 9 Jun 2021 di sebuah pangsapuri di Kuching dan telah berjaya membongkar satu tempat penyimpanan dan memproses campuran serbuk jus ekstasi dan ketamin.

Jelas beliau, dalam serbuan tersebut seorang lelaki tempatan, 27, ditahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952. 

Menurutnya lagi, sebanyak 50 biji pil ekstasi, 354.13 ketamin, 320 biji Erimin 5 dan 13.7 kilogram serbuk jus disyaki campuran ekstasi dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM250,000 yang mana bekalan ini dianggarkan mampu menampung 3,770 penagih.

"Reman ke atas suspek diluluskan selama tujuh hari," ujarnya sambil menambah suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

  • oleh
  • Advertisement