Anda di sini

Fasa 4 program imunisasi diaktifkan untuk kawal kluster tempat kerja

Advertisement
Khairy ketika sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan selepas menghadiri mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di Kompleks F hari ini. - Gambar Bernama 
Khairy ketika sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan selepas menghadiri mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di Kompleks F hari ini. - Gambar Bernama 

PUTRAJAYA: Fasa 4 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan melibatkan sektor ekonomi kritikal diaktifkan hari ini, dalam usaha mengawal kluster tempat kerja, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Fasa 4 itu yang merupakan fasa kawalan wabak, akan dimulakan di kawasan industri yang beroperasi semasa pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, sehingga 28 Jun ini.

“Fasa kawalan wabak ini melibatkan sektor ekonomi kritikal iaitu asas tulang belakang pembangunan ekonomi negara, dan ia perlu diterapkan secepat mungkin dalam kalangan industri, supaya kluster tempat kerja dapat dikawal,” katanya serta merujuk data COVID-19 semalam (13 Jun) di mana 11 daripada 15 kluster baharu direkodkan adalah kluster tempat kerja.

Khairy berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menyelaraskan pusat pemberian vaksin (PPV) Industri, bagi proses vaksinasi untuk sektor perkilangan.

“Selepas itu, PPV Industri akan dibuka kepada sektor lain seperti pembinaan, perladangan, peruncitan dan hospitaliti secara berperingkat,” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini, bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurut Khairy, sebanyak 30,000 dos vaksin disediakan untuk pihak industri pada bulan ini (Jun), tidak termasuk di Sarawak.

MITI pada Sabtu lepas berkata Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bagi sektor pembuatan akan dilancarkan sebagai Fasa 4 daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan vaksinasi akan dijalankan di premis kilang dan lokasi perindustrian yang dikenal pasti.

Sementara itu, Khairy berkata kadar keseluruhan vaksinasi negara di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan merekodkan lebih 100,000 dos sehari.

Beliau berkata, purata dos yang diberi pada minggu lepas iaitu antara 7 hingga 13 Jun adalah 130,842 dos sehari, dan ini merupakan peningkatan daripada purata 94,481 dos sehari pada minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan mengagihkan 30,000 dos vaksin di Labuan, berikutan jumlah kes COVID-19 yang agak kritikal di pulau berkenaan.

Pada 7 Jun lepas, media melaporkan yang jumlah kes aktif COVID-19 di Labuan meningkat 63 kali ganda sejak awal bulan lepas. - Bernama 

Advertisement