Anda di sini

Euro 2020: Wales seri 1-1 dengan Switzerland

Advertisement
 Sebahagian daripada aksi Euro 2020 Kumpulan A di antara Wales dan Switzerland di Stadium Olympic, Baku. — Gambar AFP
SENGIT: Sebahagian daripada aksi Euro 2020 Kumpulan A di antara Wales dan Switzerland di Stadium Olympic, Baku. — Gambar AFP

PARIS: Euro 2020 berlangsung di Baku dan menyaksikan Kieffer Moore memberi Wales keputusan seri 1-1 dengan Switzerland dalam perlawanan pembuka kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Moore, pemain penyerang Cardiff City menanduk masuk pada minit ke-74 untuk menyamakan gol Breel Embolo pada awal separuh masa kedua.

“Kami bermain dengan pelbagai rentak, seperti biasa, untuk melawan semula, berani, mendapatkan bola dan meraih mata penyamaan,” kata kapten Gareth Bale.

Keputusan tersebut menyusul selepas Itali mengalahkan Turki 3-0 dalam Kumpulan A dalam perlawanan perasmian kejohanan itu pada malam Jumaat yang penuh emosi di Rom.

“Wujud emosi yang mengagumkan sebelum perlawanan bermula, ia menggerunkan,” kata pemain terbaik perlawanan pasukan Itali, Leonardo Spinazzola.

Seramai 16,000 penonton menyaksikan perlawanan tersebut, penuh dengan riuh-rendah dan warna-warni setelah tidak menyaksikan bola sepak sepanjang tahun lepas yang dilangsungkan di stadium lengang akibat pandemik COVID-19.

Kehadiran penyokong dihadkan dalam perlawanan Euro, yang berlangsung di 11 bandar seluruh benua itu, dari Seville ke Baku di Lautan Caspian.

Sungguhpun 50 peratus daripada kapasiti penonton dibenarkan hadir ke permainan di ibu kota Azerbaijan, tempat duduk tidak padat untuk menyaksikan Wales menentang Switzerland.

Sementara itu, persediaan Rusia ke Euro menerima tamparan apabila pemain sayap, Andrei Mostovoy dijangkiti virus itu lalu dikecualikan sebelum perlawanan bermula.

Beliau merupakan salah seorang pemain yang disahkan positif COVID-19, selepas ketua pasukan Sepanyol Sergio Busquets terkecuali dalam perlawanan pertama menentang Sweden pada Isnin di Seville.

“Semua kejadian ini menjadikan kami lebih kuat sebagai sebuah pasukan. Kami sudah nampak cahaya di hujung terowong ini sekarang,” jelas pemain pertahanan Sepanyol Diego Llorente kelmarin.

Pasukan kebangsaan dibenarkan untuk menyenaraikan skuad 26 pemain untuk Euro di sebalik 23 pemain kerana virus itu.

Jurulatih Belanda Frank de Boer  mengetepikan penjaga gol beliau Jasper Cillessen daripada skuad itu selepas keputusan positif virus tersebut, bermakna pemain veteran Maarten Stekelenburg akan bermain pada perlawanan Isnin menentang Ukraine di Amsterdam.

“Kami semua perlu mengadaptasi situasi khas ini,” kata presiden UEFA Aleksander Ceferin menjelaskan kesukaran ketika menganjurkan pertandingan Eropah ketika pandemik ini.

Pesaing hebat lain dalam kejohanan Euro yang akan memulakan kempen mereka, termasuk England yang berhadapan dengan finalis Piala Dunia 2018 Croatia malam tadi.

England akan bermain kesemua tiga perlawanan di Wembley. Sekiranya mereka mendahului dalam kumpulan mereka juga akan bertanding di situ dalam peringkat 16 akhir, memandangkan London ialah lokasi untuk kedua-dua perlawanan suku akhir dan final pada 11 Julai.

Kapten Croatia Luka Modric mengulas bahawa situasi ini boleh memberi kelebihan kepada pasukan England.

“Semua orang berpendapat bahawa pasukan yang bermain di padang sendiri dengan penyokong mereka, akan mendapat sedikit kelebihan,” kata Modric.

England pernah seri dan mengalahkan Croatia dalam Liga Bangsa dan sejak pertemuan itu Modrid mengakui pasukan Gareth Southgate sebagai satu ancaman.

“Bagi saya mereka adalah ancaman besar. Sudah tentu mereka ialah salah satu pasukan kegemaran dalam pertandingan ini,” tambah Modric. — AFP

Advertisement