Anda di sini

Tiga sukarelawan cedera dalam kemalangan.

Advertisement

SANDAKAN : Tiga sukarelawan Van Jenazah Abam Botak mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Liela, di sini, kelmarin

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Azhar Hamin berkata kemalangan yang berlaku kira-kira jam 4 petang itu dipercayai disebabkan pemandu van berkenaan hilang kawalan semasa melalui jalan selekoh.

Menurutnya, kesemua sukarelawan berkenaan baharu selesai menghantar dan menguruskan jenazah di tanah perkuburan Islam Kampung Bokara, Batu Sapi.

“Semasa dalam perjalanan pulang ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) di sini, van yang mereka naiki tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan di lokasi kejadian.

“Van yang mereka naiki kemudiannya merempuh bahagian belakang sebuah lagi van lain yang berada di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Beliau berkata, kesemua sukarelawan berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan manakala van mereka mengalami kerosakan di bahagian depan dan tepi.

“Kesemua mereka dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59,” katanya.

Untuk rekod, sukarelawan Van Jenazah Abam Botak merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi bantuan penghantaran jenazah secara percuma bukan sahaja di sini, malah hingga ke pedalaman Sabah.

  • oleh
  • Advertisement