Anda di sini

Proses penghantaran bantuan bakul makanan di DUN Repok berjalan lancar

Advertisement
 Huang bersama kakitangan Pusat Khidmat DUN Repok mengagihkan bakul makanan di bawah Bantuan Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 kepada KIR berdaftar di DUN Repok.
BAKUL MAKANAN: Huang bersama kakitangan Pusat Khidmat DUN Repok mengagihkan bakul makanan di bawah Bantuan Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 kepada KIR berdaftar di DUN Repok.

SARIKEI: Proses penghantaran bakul makanan Bantuan Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok berjalan lancar dan dijadualkan dapat diagihkan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Jurucakap Pusat Khidmat DUN Repok berkata, kini lebih separuh Ketua Isi Rumah (KIR) berdaftar di DUN Repok mendapat bantuan masing-masing.

“Usaha giat kita lancarkan dan jentera pengagihan dikerahkan bekerja lebih keras untuk menyampaikan bantuan kepada KIR di kawasan-kawasan tersenarai.

“Sekiranya berlaku keciciran kita berharap pihak terbabit dapat memaklumkan perkara tersebut dengan kita pada kadar segera,” katanya.

Sejumlah 1,000 KIR menerima sumbangan bakul makanan di bawah BKSS 6.0 bagi kawasan DUN Repok, kelmarin.

Turut turun padang menghantar sumbangan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii.

Huang berkata, sumbangan bakul makanan ini merupakan salah satu usaha berterusan kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS) membantu rakyat terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pelaksanaan PKP adalah bukannya menyusahkan rakyat tetapi untuk memutuskan rantaian wabak pandemik COVID-19.

“Oleh itu, saya berharap rakyat bersabar dan sentiasa mengamalkan norma baharu dan Prosedur Operasi Stan-dard (SOP) dalam kehidupan seharian bagi mencegah jangkitan COVID-19.

“Terima kasih kepada Kerajaan GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg kerana amat prihatin dan memahami keperluan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, sumbangan bakul makanan kepada KIR dibahagikan secara berperingkat mengikut jumlah KIR setiap rumah panjang dan kampung.

“Petugas Pusat Khidmat DUN Repok menghantar sumbangan bakul makanan kepada KIR di setiap rumah panjang dan kampung mengikut jadual ditetapkan.

“Kita berharap bantuan ini dapat meringankan beban dan menampung keperluan asas masyarakat dari aspek bahan makanan dalam menghadapi PKP 3.0 ini,” jelasnya.

Advertisement