Anda di sini

Program vaksinasi dapat maklum balas baik daripada penduduk Hulu Baram

Advertisement
Dennis (tengah) bercakap dengan seorang penerima vaksin di PPV Klinik Kesihatan Long San, semalam.
Dennis (tengah) bercakap dengan seorang penerima vaksin di PPV Klinik Kesihatan Long San, semalam.

LONG SAN: Pemberian dos pertama suntikan vaksin COVID-19 jenis Sinovac mendapat maklum balas yang baik daripada penduduk luar bandar di Hulu Baram.

Buat permulaan semalam, seramai 100 penduduk masing-masing 50 orang dari kawasan Long San dan Long Bedian menerima dos pertama mereka di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan (KK) Long San dan KK Long Bedian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, kedua-dua klinik tersebut merupakan PPV jenis Sinovac.

“Buat masa ini, jumlah penerima dihadkan bagi memastikan program vaksinasi ini berjalan lancar.

“Bagi kumpulan pertama ini, saya juga diberitahu oleh Kementerian Kesihatam Malaysia bahawa seramai 400 penduduk akan menerima dos pertama vaksin mereka,” katanya selepas meninjau program vaksinasi di KK Long San, kira-kira empat jam perjalanan melalui jalan balak dari Miri, pada Sabtu.

Sebelum ini, penduduk mendapatkan vaksin mereka di PPV Klinik Long Lama.

“Pada mulanya saya bimbang dengan maklum balas daripada penduduk yang tidak mahu menerima vaksin kerana takut dan menerima pelbagai maklumat kurang tepat.

“Namun dengan komitmen semua pihak terutama pegawai kesihatan, mereka memberikan kerjasama untuk menerima vaksin,” kata Dennis.

Beliau berharap lebih banyak klinik kesihatan di kawasan Hulu Baram akan dijadikan sebagai PPV bagi memudahkan pemberian vaksin kepada penduduk di pedalaman. 

  • oleh
  • Advertisement