Anda di sini

Program imunisasi COVID-19 di daerah Tebedu dijangka selesai penghujung Ogos - Manyin

Advertisement
Salah seorang warga emas wanita menerima suntikan vaksin COVID-19 di PPV Dewan Masyarakat Tebedu.
Salah seorang warga emas wanita menerima suntikan vaksin COVID-19 di PPV Dewan Masyarakat Tebedu.

KUCHING: Program imuninasi COVID-19 di daerah Tebedu, di bahagian Serian dijangka selesai pada penghujung Ogos ini.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata sasaran itu dapat dicapaikan dengan pelaksanaan pendekatan hibrid bagi membolehkan penduduk luar bandar divaksin selepas nama mereka didaftar oleh Pejabat Daerah Tebedu menerusi ketua kaum masing-masing.

Beliau berkata pendekatan hibrid itu lebih berkesan memandangkan ramai yang layak mendapatkan vaksin tidak dapat mendaftar menerusi aplikasi mudah alih MySejahtera disebabkan masalah akses internet di kampung mereka.

"Dijangka 70 peratus penduduk kampung di daerah Tebedu akan divaksin pada penghujung Ogos ini. Di daerah ini ada 75 kampung dengan jumlah penduduk 37,000 orang," katanya sebagai dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) semasa melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Masyarakat Tebedu bagi melihat operasi hari pertama PPV itu pada Sabtu.

Manyin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu berkata sejumlah 530 orang bagi kumpulan pertama mendapat suntikan vaksin di PPV berkenaan semalam.

Mereka terdiri daripada 281 penduduk Kampung Sebintin, Kampung Payau Brus (97) dan Kampung Batu Bedang (192) manakala penerima lain merupakan kakitangan daripada pelbagai agensi.

Beliau menambah, sambutan daripada penduduk di daerah itu untuk mendapatkan suntikan vaksin amat baik dan ini penting bagi membentuk imuniti berkelompok menentang COVID-19.

Beberapa penerima vaksin yang ditemu bual UKAS berkata mereka mengalu-alukan pembukaan PPV di Tebedu dan menggesa penduduk di situ tidak bimbang kerana pemberian vaksin adalah untuk kebaikan semua.

Advertisement