Anda di sini

PPV bergerak mudahkan warga emas di pedalaman terima vaksin

Advertisement
Penghulu Sanok bersama bapa mertuanya, Ganya Unau (duduk) sebagai warga emas tertua berumur 98 tahun yang menerima suntikan vaksin di PPV bergerak di Dewan Masyarakat Punan Rumah Ado Lubok Kubong Kakus Tatau.
Penghulu Sanok bersama bapa mertuanya, Ganya Unau (duduk) sebagai warga emas tertua berumur 98 tahun yang menerima suntikan vaksin di PPV bergerak di Dewan Masyarakat Punan Rumah Ado Lubok Kubong Kakus Tatau.

TATAU: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak daerah Tatau di Dewan Masyarakat Punan Rumah Ado Lubok Kubong Kakus Tatau ternyata mendapat sambutan baik daripada penduduk di kawasan pedalaman menerima vaksin bagi mengekang penularan COVID-19 pada Sabtu.

PPV bergerak itu diwujudkan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu dan Klinik Kesihatan Daerah Tatau.

Seramai 413 orang menerima suntikan dos pertama vaksin Sinovac dari kawasan penempatan 19 buah rumah panjang Sungai Kakus hulu Tatau melalui pendekatan 'Mobile Outreach Programme' yang bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk daerah Tatau itu dengan pemberian vaksin secara bergerak ke kawasan terbabit bukan sahaja memudahkan warga emas mendapatkan vaksin untuk perlindungan diri dan komuniti secara keseluruhan, bahkan tidak perlu pergi jauh ke PPV Dewan Sukan Tatau terutama warga emas yang mungkin kurang bertenaga dan sukar untuk berjalan jauh.

Antaranya adalah penerima vaksin tertua di kawasan itu iaitu Ganya Unau, 98, dari Rumah Arjey, Nanga Mina Kakus dan Tingau Jaring, 86, dari Rumah Endwin Engkulau Nanga Belungai Kakus, di mana kedua-duanya tetap gagah untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut demi untuk keselamatan diri dan penduduk. 

Tingau Jaring berumur 86 tahun menerima suntikan vaksin dos pertamanya.
Tingau Jaring berumur 86 tahun menerima suntikan vaksin dos pertamanya.

Ketua masyarakat Orang Ulu Tatau, Penghulu Sanok Magai menyifatkan pendekatan dilaksana kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu amat bertepatan dan baik kepada golongan warga emas yang berada jauh di pedalaman yang sukar ke PPV di kawasan pekan dan bandar.

"Saya mewakili masyarakat di sini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri kerana telah menyediakan kemudahan pemberian vaksin seumpamanya kepada warga tua yang mungkin tidak dapat menghadirkan diri atau sukar ke PPV di Dewan Sukan Tatau," katanya semalam.

Bahkan melalui pendekatan seumpamanya, liputan pemberian vaksin akan lebih meluas terutamanya ke kawasan luar bandar yang sukar untuk dihubungi terutamanya melalui jalan darat.

Turut sependapat, Tuai Rumah Robert Nuing dari Nanga Segun Kakus yang pada masa sama menyeru warga emas agar tidak takut atau bimbang menerima vaksin memandangkan beliau sendiri telah menerima suntikan vaksin dan tidak mengalami kesan sampingan negatif.

Justeru katanya, beliau mengucapkan terima ksih kepada kerajaan dan semua pihak yang terlibat menjayakan program suntikan vaksin tersebut.

Manakala Tuai Rumah Arjey Kenai dari Nanga Mina, Kakus melihat pendekatan yang dibuat itu membolehkan ramai penduduk menerima vaksin tanpa ada yang tercicir daripada program yang dilaksanakan kerajaan terutamanya untuk penduduk di rumah panjang beliau.

"Saya berasa gembira kerana penduduk yang tinggal di rumah panjang saya telah mendapat suntikan vaksin 100 peratus. Saya ucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan dan kakitangan kerajaan serta pejabat daerah yang telah menganjur program ini dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Tuai Ado Bilong dari Lubok Kubong, Kakus turut gembira dengan pendekatan dan usaha yang dibuat dalam pemberian vaksin tersebut.

Katanya, seramai lebih 150 penduduk dari rumah panjang telah mendapat suntikan vaksin ini dan saya berterima kasih kepada kerajaan kerana telah mengadakan program suntikan vaksin ini khususnya kepada masyarakat Punan di pedalaman Kakus Tatau.

  • oleh
  • Advertisement