Anda di sini

PKP: Penjaja tepi jalan cuba bertahan 

Advertisement
Ledang terus berniaga dalam tempoh PKP bagi menjana pendapatan.
Ledang terus berniaga dalam tempoh PKP bagi menjana pendapatan.

KUCHING: Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Sarawak bermula 29 Mei lepas telah memberi kesan kepada seluruh rakyat. 

Turut terkesan penjaja tepi jalan yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menjana pendapatan harian mereka. 

Meskipun terjejas, namun penjaja tepi jalan perlu bersyukur kerana masih dibenarkan berniaga berbanding beberapa sektor lain yang ditutup sepenuhnya. 

Ledang Nyangau, 62, antara penjaja tepi jalan yang terkesan akibat pelaksanaan PKP bermula 29 Mei lepas. 

Meskipun pendapatan dari hasil jualannya seperti sayur segar, beras Dayak berkurangan namun beliau tetap meneruskan perniagaan. 

“Cuma keadaan sekarang berbeza dengan sebelum PKP. Masa saya berniaga tidak menentu ada masa saya berniaga ada masa tidak. 

“Kalau hendak tutup terus tidak dapat, sebab sumber pendapatan saya bergantung kepada hasil jualan,” katanya ketika ditemui di gerainya di Taman Uni Garden, Bandar Riyal, Kota Samarahan. 

Tambahan kata Ledang, beliau tidak menerima apa-apa bantuan dari kerajaan lagi-lagi dalam tempoh PKP ini. 

Justeru kata Ledang beliau cuba bertahan dengan terus berniaga sepanjang tempoh PKP ini. 

Sukar dapat pekerjaaan tetap, Fariezan cekal berniaga.
Sukar dapat pekerjaaan tetap, Fariezan cekal berniaga.

Sementara itu penjaja muda Mohd Fariezan, 19, yang ditemui di gerainya di Kota Samarahan berkata beliau tetap meneruskan perniagaan dalam tempoh PKP ini. 

“Sudah lebih dua tahun saya berniaga secara kecil-kecilan menjual kuih muih, nasi lemak dan nasi ayam untuk menjana pendapatan. 

“Untuk mengharapkan pekerjaaan tetap memang sukar lebih-lebih dalam keadaan ketika ini dimana negara sedang berdepan pandemik COVID-19,” katanya. 

Dari segi pendapatan katanya memang kurang lebih-lebih dalam tempoh PKP ini namun perniagaan harus diteruskan. 

“Untuk kekal bertahan, saya ada juga buat khidmat penghantaran makanan terus kepada pelanggan selain mendaftar dengan tempahan menggunakan aplikasi Foodpanda dan GrabFood,” katanya. 

Kasimi cuba bertahan meskipun hasil jualan kurang memberangsangkan dalam tempoh PKP ini.
Kasimi cuba bertahan meskipun hasil jualan kurang memberangsangkan dalam tempoh PKP ini.

Seorang lagi penjaja tepi jalan yang ditemui Kasimi Junaidi berkata baharu sebulan berniaga beliau diuji dengan PKP. 

Kasimi yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas berkata beliau cuba berniaga untuk menjana pendapatan sendiri serta membantu menambah pendapatan keluarganya. 

Malangnya kata Kasimi baru sebulan memulakan perniagaan ayam gunting dan air teh peng, perniagaannya berdepan dengan PKP. 

“Dari segi jualan memang tidak memberangsangkan namun saya tetap bertahan dan terus berniaga. 

“Saya harap dapat bertahan dalam tempoh PKP ini dan dapat membuka cawangan di tempat lain pada suatu hari nanti,” kata Kasimi. 
 

  • oleh
  • Advertisement