Anda di sini

Masalah air berbau di Dalat akan selesai tidak lama lagi - Dr Rundi

Advertisement
Keadaan kolam takungan air mentah Sungai Ud selepas dibersihkan
Keadaan kolam takungan air mentah Sungai Ud selepas dibersihkan

KUCHING: Isu air berbau yang berlaku di daerah Dalat sejak awal Jun ini akan selesai tidak lama lagi.

Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kementeriannya melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sedang giat melaksanakan projek pemasangan pam baharu dan fasiliti pengudaraan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Bagi jangka masa terdekat ini, projek pemasangan dua buah pam baharu di kolam takungan air mentah Sungai Ud di bawah Projek Rakyat sedang giat dilaksanakan.

“Sebuah pam telah siap dipasang pada 11 Jun 2020 manakala pemasangan sebuah lagi pam dijangka selesai sepenuhnya pada bulan Jun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Rundi menambah, sementara projek pemasangan pengudaraan (aerator) di Loji Rawatan Air Dalat kini dalam fasa pembinaan dan dijangka siap pada bulan Julai 2021. 

“Setelah projek ini nanti siap dijalankan, isu bekalan air terutama isu air berbau akan dapat diatasi,” ujarnya.

Menurut beliau, isu air berbau di Dalat adalah berpunca daripada lebihan kandungan bahan organik di dalam kolam takungan air mentah Sungai Ud yang menyalurkan air mentah ke Loji Rawatan Air Dalat untuk diproses dan dirawat.

Ia juga katanya, disebabkan ketiadaan fasiliti pengudaraan yang berperanan untuk membantu menyahbau air di loji berkenaan.

Sehubungan itu, Dr Rundi memberi jaminan bahawa sebarang isu yang melibatkan kualiti air sentiasa menjadi keutamaan dan diberi perhatian penuh dengan mematuhi piawaian.

Katanya, keprihatinan kerajaan negeri Sarawak terhadap pembangunan sistem bekalan air di bahagian Mukah termasuk daerah Dalat dibuktikan dengan peruntukan berjumlah RM51.6 juta.

“Ia menerusi pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi, jangka pendek dan sederhana di bawah Pakej Projek Rakyat.

“Semua projek telah dan sedang giat dilaksanakan sejak tahun 2018 bagi memastikan penduduk-penduduk di kawasan berkenaan mempunyai infrastruktur bekalan air bersih yang lebih baik,” jelas beliau.
 

  • oleh
  • Advertisement