Anda di sini

Khir Rahman muncul dengan filem komedi ‘Arwah Pak Mat, Lif & AJK’

Advertisement
KHIR RAHMAN
KHIR RAHMAN

PELAKON, pelawak, penyanyi, penulis skrip dan pengarah berkaliber Khir Rahman bukan nama asing di persada seni tanah air.

Bakatnya dalam arena komedi juga semakin terserlah dan lebih membanggakan apabila berjaya dinobatkan sebagai juara menerusi kumpulan JBORN di Muzikal Lawak Superstar (2019).

Istimewa buat peminat dan penonton yang sentiasa menantikan hasil kreatif bintang hebat ini, Astro Shaw membawakan sebuah filem komedi terbaru arahan Khir Rahman, terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd berjudul ‘Arwah pak Mat, Lif & AJK’ terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480, bermula 10 Jun.

Filem komedi satira ini mengisahkan tentang Nordin, seorang pekerja kilang yang menjaga bapanya dan tinggal bersama di flat Seri US di tingkat 25.

Apabila penduduk flat sedang meriah melangsungkan pemilihan presiden dan ahli AJK untuk musim baru, mereka dikejutkan dengan kematian bapa Nordin.

Keadaan bertambah kecoh selepas lif di flat tersebut rosak dan perlu mengambil masa yang lama untuk dibaiki. Jadi, Nordin dengan bantuan penduduk flat harus membawa turun jenazah bapanya menggunakan tangga. Pelbagai cabaran dan halangan mereka perlu tempuhi. Namun, hidup berkomuniti menyatukan mereka semua.  

Menariknya filem ini membariskan pelakon dan pelawak terkenal tempatan dalam mendukung watak-watak utama, seperti Joey Daud, Ropie, Taukeh Jambu, Jalil Hamid, Anas Ridzuan, Man Raja Lawak, Sathia, Douglas Lim, Wan Gegau, Nizam Jentik-Jentik, Souya, Che Mat, Kimmy Low, Shendo Kiut, Shiela Mambo dan Wafariena. Istimewanya, kali ini penonton bakal menyaksikan sisi berbeza Joey Daud menerusi karakter Nordin. Meskipun filem ini ditampilkan dalam genre komedi, namun penyampaian karakter Nordin dilihat lebih serius.  

Menurut Khir Rahman, “Selepas 10 tahun saya kembali dengan filem arahan terbaru iaitu ‘Arwah Pak Mat, Lif & AJK’. Kali ini saya tampilkan sebuah karya bergenre komedi satira dan meskipun padat dengan komedi serta jalan cerita yang santai namun istimewanya naskhah ini saya cuba mengangkat tentang nilai hidup berkomuniti dan ada pengajaran yang cuba disampaikan, antaranya mengingatkan kesedaran tentang hidup majmuk dan mengambil berat tentang jiran tetangga.”

“Dan dalam keadaan masyarakat sekarang ini, sentiasalah bersapa dan membantu antara satu sama lain agar tiada yang rasa keseorangan. Saya harap, kehadiran filem ini mampu menarik perhatian penonton untuk terus kekal dirumah dan menikmati hiburan filem ini bersama keluarga mahupun orang terdekat,” tambah Khir.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Dalam situasi negara sekarang ini, penonton banyak menghabiskan masa di rumah dan kami yakin mereka inginkan filem yang mampu membuatkan mereka keluar seketika dari tekanan dan berhibur serta ketawa bersama keluarga mahupun teman. Memahami kehendak penonton, kami terus memainkan peranan dengan membawakan filem-filem dengan pelbagai genre dalam memberi pilihan kepada mereka, dan salah satunya adalah jalan cerita yang santai dengan menyelitkan elemen komedi untuk tontonan.”

Tambahnya, “Bukan itu sahaja, malah kami di Astro Shaw juga sentiasa berusaha menyediakan dan mengetengahkan bakat-bakat kreatif tempatan untuk ditonjolkan. Kali ini kami membawakan karya bintang berbakat besar, Khir Rahman untuk dipersembahkan kepada umum. Kami berharap kelainan dan sentuhan beliau yang tersendiri turut mampu memberikan kepuasan berbeza kepada penonton.”

Saksikan filem ‘Arwah Pak Mat, Lif & AJK’ yang kini sedang ditayangkan di Pawagam Rumah Anda, Astro First. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau strim di Astro Go atau On Demand.

Advertisement