Anda di sini

Jawatankuasa Pemantauan Dasar dan Tadbir Urus Korporat dirombak

Advertisement
HAJIJI
HAJIJI

KOTA KINABALU: Bagi mengukuhkan dan meningkatkan bidang pengurusan korporat semua Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), kerajaan negeri mengambil langkah merombak Jawatankuasa Pemantauan Dasar Korporat dan Tadbir Urus.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor ketika mengumumkan perkata itu berkata, polisi peningkatan itu termasuklah menguatkuasakan semua ketidakpatuhan terhadap arahan-arahan kerajaan.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, jawatankuasa berkenaan akan dikawal selia oleh Kementerian Kewangan yang mana termasuk semua aspek pengurusan korporat terhadap kemungkinan salah laku.

Katanya, ia termasuklah kelulusan meragukan suatu jawatan atau penubuhan anak syarikat baharu dalam BBN dan GLC, pemantauan dan sebarang sekatan gaji serta elaun kepada semua pengurusan penting BBN dan GLC.

Menurutnya, jawatankuasa itu juga akan memantau semua pengurusan kewangan BBN dan GLC secara teliti terutama sekali yang membabitkan penggunaan sumber sektor awam.

Pihaknya juga akan memastikan semua ketua yang dilantik melakukan kerja dengan intregiti dan kepatuhan kepada undang-undang serta pengurusan.

"Jawatankuasa ini akan meneliti semua cadangan BBN dan GLC untuk kelulusan bagi memastikan pengukuhan pengurusan korporat, keberkesanan operasi, kemampanan prestasi kewangan, dan kemampuan pengarah masing-masing.

"Kerajaan negeri akan memastikan kadar ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi dalam pengurusan operasi semua BBN dan GLC di Sabah memandangkan ia satu inisiatif yang penting," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu memastikan kestabilan kewangan dalam tempoh jangka panjang, serta berdaya maju komersial untuk pulangan pelaburan dan amalan korporat terbaik.

Dalam pada itu jelasnya, langkah itu juga bagi mengingatkan semua BBN dan GLC di Sabah mengenai tanggungjawab membuat dan menghasilkan nilai pemegang saham sebagai sebahagian dari rancangan perniagaan dan tanggungjawab korporat untuk terus maju ke hadapan.

Hajiji berkata, ini adalah antara langkah yang diperlukan dalam memperkemas dan mengutamakan usaha dan inisiatif untuk mencapai agenda pembangunan kerajaan.

Menurutnya, penting bagi BBN dan GLC terus bersaing secara komersial di dalam krisis termasuk kesan ekonomi yang disebabkan oleh cabaran seperti pandemik COVID-19 yang berterusan dan berpanjangan.

  • oleh
  • Advertisement