Anda di sini

Hujahan peguam mengenai UN satu penghinaan, guris masyarakat KDMR

Advertisement
RICHARD MAZAGI
RICHARD MAZAGI

PITAS : Persatuan Rungus Pitas Sabah (PISAAN) menyelar hujahan mahkamah seorang peguam yang menyamakan pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan dengan ‘persembahan lembu eksotik' dan ‘acara lelong’.


Presiden PISAAN Richard Mazagi (gambar) dalam kenyataan media hari ini berkata hujahan tersebut merupakan penghinaan yang sangat menyakitkan dan mengguris ramai orang di kalangan masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR).


“Acara Unduk Ngadau Kaamatan merupakan satu platform untuk menonjolkan gadis-gadis KDMR yang menjadi simbolik kepada peringatan mitos Huminodun.


“Mitos di sebalik acara Unduk Ngadau Kaamatan bukanlah cerita yang boleh dijadikan bahan lawak atau penghinaan kerana ia melibatkan satu pengorbanan yang besar iaitu nyawa seorang gadis, demi mengeluarkan umat manusia dari kelaparan.


“Masyarakat Rungus di daerah Pitas sangat kesal dengan hujahan tersebut dan menyifatkannya sebagai kenyataan melampau yang tidak menghormati budaya dan wanita KDMR,” katanya.


Menurut Richard, penganjuran Unduk Ngadau sejak tahun 60an telah melahirkan ramai wanita berjaya dan mereka bukan sahaja memperkasa wanita lain dari pelbagai aspek, namun telah menjadikan pertandingan tersebut sebagai tarikan pelancongan di negeri ini.


“Unduk Ngadau merupakan pertandingan ratu cantik tradisi yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dan meletakkan Sabah di peta dunia.


“Hujahan yang menghina Unduk Ngadau ini sangat keterlaluan, dan kami menggesa peguam terbabit menarik balik tuduhan tersebut dan memohon maaf secara terbuka.


“Kami juga berharap agar kejadian ini menjadi pengajaran untuk semua pihak agar menghormati wanita dan tidak menghina budaya KDMR,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement