Anda di sini

Euro 2020: Itali mula langkah kanan

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan pembukaan Kejohanan Euro 2020 di antara Itali dan Turki yang berlangsung di Stadium Olympic di Rom. Itali menang 3-0. — Gambar AFP
PERLAWANAN TUMPUAN: Antara babak-babak aksi perlawanan pembukaan Kejohanan Euro 2020 di antara Itali dan Turki yang berlangsung di Stadium Olympic di Rom. Itali menang 3-0. — Gambar AFP

PARIS: Wales dan pasukan ranking atas dunia Belgium, memulakan perlawanan Euro 2020 semalam selepas temasya yang tertunda itu dibuka dengan kemenangan hebat Itali pada malam beremosi di  Rom.

Selepas setahun bola sepak dimainkan dalam stadium lengang ekoran pandemik COVID-19, Stadio Olimpico dipenuhi suku daripada kapasitinya ketika perlawanan pembukaan Kejohanan Eropah dan penyokong pasukan tuan rumah dalam kalangan 16,000 penonton dihadiahkan dengan kemenangan 3-0 Itali menentang Turki.

Anak didik Roberto Mancini turun padang pada perlawanan tersebut selepas 27 permainan tanpa kalah lalu menambah rekod lagi dengan kemenangan hebat, menyaksikan Ciro Immobile dan Lorenzo Insigne menjaringkan gol selepas gol sendiri Merih Demiral memberi mereka pendahuluan.

Keputusan itu mengakhiri malam  yang penuh emosi di ibu kota Itali selepas persembahan musik dan lampu membuka perlawanan, serta penyanyi Andrea Boceli mempersembahkan ‘Nessun Dorma’, yang menjadi popular ketika Piala Dunia 1990 di Itali.   

“Ia petang yang indah, saya berharap banyak lagi akan berlangsung. Untuk menang 3-0, akhirnya dengan  penyokong di stadium, menjadikan ia lebih istimewa.” Ucap Mancini selepas permainan Kumpulan A itu.

Rom merupakan salah satu daripada 11 bandar tuan rumah perlawanan.

Majoriti lokasi perlawanan akan hanya membuka pintu buat segelintir penonton, namun Budapest merancang untuk memenuhi Arena Puskas mereka dengan kapasiti 100 peratus.

Perlawanan berlangsung daripada Seville hingga ke Baku di Azerbaijan, di mana Wales dan Switzerland bertemu semalam.

Walaupun begitu, halangan perjalanan bermakna kurang atmosfera karnival seperti kebiasaan dalam temasya besar apabila penyokong tiba bersama di bandar tuan rumah.

“Kami semua perlu mengadaptasi situasi istimewa,” kata presiden UEFA Aleksander Ceferin.

Namun keterujaan itu telah diselaputi dengan beberapa kes positif COVID-19 dalam kalangan pemain.

Di Baku, seramai 31,000 penyokong menonton perlawanan pertama pada Sabtu, menyaksikan Wales menentang Switzerland dalam Kumpulan A dengan Gareth Bale menyandang tugas kapten pasukan.

“Ia suatu penghormatan besar untuk mengetuai negara kamu dalam kejohanan  besar. Ini akan menjadi sorotan penting dalam karier saya,” jelas Bale.

Perlawanan itu akan disusuli dengan Denmark menentang Finland di Copenhagen dalam Kumpulan B.

England akan turun padang pada Ahad dan berharap untuk mengambil peluang di tempat sendiri semasa menentang pasukan kedua Piala Dunia 2018 Croatia di London.

Wembley, akan menjadi tuan rumah kepada lapan perlawanan dalam kejohanan 24 pasukan itu, termasuk peringkat separa akhir dan final pada 11 Julai.

Juara Piala Dunia Perancis, dengan Karim Benzema dijemput semula setelah bersara daripada perlawanan antarabangsa setelah lima tahun setengah, merupakan pasukan kegemaran ramai.

Pendahulu Portugal, dengan Cristiano Ronaldo dalam pasukan gemilang itu, juga merupakan pesaing hebat.

Selain itu, persatuan bola sepak Ukraine bersetuju kelmarin untuk berkompromi dengan UEFA tentang jersi Euro 2020 yang menampilkan slogan patriotik namun membangkitkan kemarahan Rusia.

Seorang jurucakap UEFA menjelaskan bahawa Ukraine telah bersetuju untuk menutup slogan itu dengan peta mini negara tersebut. — AFP

Advertisement