Anda di sini

Datang terlalu awal punca PPV sesak - Lee

Advertisement
Lee (berdiri) meninjau PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya hari ini.
Lee (berdiri) meninjau PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya hari ini.

MIRI: Penerima vaksin datang terlalu awal dari masa janji temu yang ditetapkan menyebabkan pusat pemberian vaksin (PPV) di sini sesak.

Menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM) Datuk Lee Kim Shin berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kesesakan PPV di sini.

“Pemantauan kita pada pagi ini mendapati ada penerima datang ke PPV ini pukul 8 pagi ke 9 pagi sedangkan janji temu mereka antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.

“Ini menyebabkan kesesakan, justeru saya nasihatkan penerima vaksin jangan datang terlalu awal. Sila ikut masa janji temu yang ditetapkan dan hanya datang ke PPV 15 hingga 30 minit lebih awal sudah mencukupi,” katanya dalam kenyataan selepas meninjau PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya hari ini.

PPV ini merupakan antara PPV yang menampung kapasiti penerima vaksin yang besar selepas PPV Dewan Eastwood yang mempunyai kapasiti 1,400 orang iaitu sehingga 1,000 orang sehari.

Tinjauan itu dibuat susulan aduan yang diterima daripada orang ramai berhubung kesesakan di PPV tersebut di samping kekeliruan mengenai janji temu yang ditetapkan sehingga mengakibatkan kawasan luar PPV itu sesak dengan orang ramai dan kenderaan. 

Sehubungan itu beliau mencadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Miri berbincang dengan pihak pengurusan aplikasi MySejahtera untuk mengurangkan kesesakan pada masa akan datang.

Lee yang juga Menteri Pengangkutan turut berbincang dengan pihak KKM untuk menambah baik keadaan di PPV tersebut. 

Selain itu Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta menambah beberapa kemudahan lain seperti khemah, kerusi, meja, kipas, papan tanda serta penghadang laluan bagi memberikan keselesaan kepada orang ramai.

Hadir sama Pengerusi JPBBM merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Ketua PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya Dr. Hiew Sing Yee, Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Tudan Dr. Maurice Steve Utap dan Jurutera JKR Bahagian Miri Calvin Dawil.

  • oleh
  • Advertisement