Anda di sini

Buaya 'sesat' ditempatkan di Pusat Penyelamat Taman Hidupan Liar Lok Kawi

Advertisement
 Operasi penyerahan tangkapan buaya daripada pihak JPAM kepada JHL.
BUAYA: Operasi penyerahan tangkapan buaya daripada pihak JPAM kepada JHL.

KOTA KINABALU: Seekor buaya jantan yang tersesat di perairan Pulau Gaya dekat sini akhirnya diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan ditempatkan di Pusat Penyelamat Taman Hidupan Liar Lok Kawi malam tadi.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Augustine Tuuga berkata, buaya sepanjang 14.5 kaki dengan anggaran berat 200 hingga 250 kilogram itu dibawa oleh JHL Pantai Barat ke Pusat Penyelamat Taman Hidupan Liar Lok Kawi untuk pemeriksaan kesihatan.

Katanya, tindakan itu dibuat sementara menunggu tindakan lanjut penghantaran ke penempatan baharu yang belum dikenal pasti.

Menurutnya, pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Kinabalu tiba di Pulau Gaya kira-kira jam 7 malam selepas menerima laporan buaya berkenaan berjaya ditangkap oleh penduduk kampung.

"Pegawai JPAM Kota Kinabalu SJN Safaruddin Rusline menjelaskan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Gaya membuat laporan polis mengenai tangkapan buaya berkenaan dan menyerahkannya kepada JPAM.

"Pasukan JPAM tiba di Pondok Kawalan JPAM Tanjung Aru pada jam 10 malam untuk menyerahkan buaya terbabit kepada JHL Pantai Barat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Pihaknya memberikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPAM kerana membantu dalam operasi penyerahan buaya terbabit.

Beliau berkata, JHL turut berterima kasih kepada JPKK Pulau Gaya kerana membuat laporan kepada PDRM dan menyerahkan buaya berkenaan kepada pihak berwajib. 

Dalam pada itu, Augustine menasihatkan orang awam untuk menyampaikan laporan rasmi kepada pihak berwajib seperti PDRM, JPAM dan JHL sekiranya terdapat gangguan hidupan liar di kawasan masing-masing.

Katanya, orang awam  juga dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri dalam menangani konflik hidupan liar dengan manusia.
 

  • oleh
  • Advertisement