Anda di sini

700 kenderaan diarah patah balik dalam operasi SJR

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Sebanyak 700 kenderaan diarah patah balik semasa operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilaksanakan dalam tempoh 24 jam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sejumlah 147 SJR dilaksana membabitkan pemeriksaan sebanyak 66,637 kenderaan .

Bagaimanapun katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 700 kenderaan diarah patah balik.

Beliau berkata, selain operasi SJR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut melaksanakan sebanyak 66 hebahan melalui kereta peronda dan tiada tangkapan dibuat.

"Sebanyak 61 kompaun melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dikeluarkan di seluruh Sabah termasuk 24 orang atas kesalahan tidak memakai pelitup muka atau tidak memakai pelitup separuh muka dengan betul.

"Seramai enam orang didapati gagal menyediakan peralatan untuk merekod butiran pelanggan, 10 orang membawa penumpang berlebihan, manakala 21 orang lagi keluar rumah tanpa alasan munasabah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM MALAYSIA) melibatkan 127 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 28 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.
 
Masidi berkata, hasil pemeriksaan, tiga tangkapan dibuat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Katanya, sebanyak 461 premis perniagaan diperiksa oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau berkata, satu kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka di kawasan awam oleh Majlis Daerah Kuala Penyu.

  • oleh
  • Advertisement