Anda di sini

4,832 ketua isi rumah di DUN Jemoreng terima bakul makanan

Advertisement
Juanda (tengah) ketika simbolik pengagihan BKSS 6.0 di salah sebuah kampung di DUN Jemorwng.
Juanda (tengah) ketika simbolik pengagihan BKSS 6.0 di sebuah kampung di DUN Jemoreng.

MUKAH: Seramai 4,832 ketua isi rumah (KIR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng dijangka selesai menerima bakul bantuan makanan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) pada hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya, agihan telah bermula sejak dua hari lalu dan dijangka selesai pada Ahad.

"Sebenarnya ada sedikit masalah berkaitan pek minyak masak pada mulanya kerana terdapat sedikit kekurangan bekalan, namun ia telah dapat diatasi," katanya kepada Utusan Borneo.

Sebelum BKSS 6.0, terdapat agihan bekalan makanan asas kepada golongan asnaf di 36 kampung di mana seramai lima hingga sembilan asnaf untuk sebuah kampung mendapat bantuan.

Ia merupakan bantuan luar daripada BKSS 6.0 yang bertujuan memastikan golongan tidak bernasib baik tidak terputus bekalan makanan di kediaman mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, mengenai kaedah agihan berkelompok, ia memastikan pengagihan tidak dihadiri oleh terlalu ramai individu perseorangan dan hanya dihadiri oleh Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum serta pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung masing-masing.

Setelah mengesahkan bilangan bakul makanan mencukupi, ia akan diserah kepada KIR dari rumah ke rumah dan pengagihan akan bergerak ke kampung seterusnya.

Juanda pada masa sama mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan juga kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana telah meluluskan BKSS 6.0 kerana ia amat bermakna terhadap penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar.

Ia juga dilihat banyak meringankan bebanan rakyat terutamanya ketika mengharungi PKP yang mencabar.

  • oleh
  • Advertisement