Anda di sini

Vaksinasi: KDN minta UNHCR serah maklumat lengkap pemegang kad

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UHNCR), menyerahkan senarai dan maklumat pemegang kad suruhanjaya itu, untuk pelaksanaan proses vaksinasi golongan itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ketika ini, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai jumlah pemegang kad UNHCR iaitu 178,715 orang, namun tiada maklumat lanjut mengenai lokasi keberadaan mereka.

“Sekiranya UNHCR dapat menyediakan maklumat lengkap, ia akan memudahkan usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok, bagi menyekat penularan pandemik COVID-19 dalam negara,” katanya dalam sidang media rangkuman Operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh, di sini hari ini.

Hamzah berkata KDN telah mengenal pasti hampir 2.5 juta warga asing di negara ini, yang memegang pelbagai dokumen dikeluarkan kerajaan atau pihak ketiga seperti UNHCR, termasuk banduan dan tahanan imigresen untuk diberikan vaksin COVID-19.

Katanya, beliau akan bekerjasama dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, untuk memastikan warga asing menerima vaksin.

“Saya ingin jelaskan, rakyat negara ini perlu faham kalau kita ingin capai imuniti kelompok, semua warga asing di negara ini perlu diberi suntikan vaksin COVID-19,” katanya.

Bagi warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah dan ingin pulang ke negara asal, Hamzah berkata mereka boleh berbuat demikian melalui Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin, yang diperkenalkan tahun lepas. - BERNAMA
 

Advertisement