Anda di sini

UPPM disaran main peranan jayakan sasaran vaksinasi : Matbali

Advertisement
DATUK MATBALI MUSAH
DATUK MATBALI MUSAH

KOTA KINABALU : Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Matbali Musah (gambar) meminta semua UPPM di negeri ini supaya memainkan peranan bagi membantu petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).


Jelas beliau, ianya penting bagi memastikan proses vaksinasi dapat dipercepatkan sekaligus mencapai sasaran pemberian dos vaksin harian untuk mencapai imuniti kelompok dalam tempoh yang ditetapkan.


Katanya, UPPM di kawasan masing-masing sudah tentu dapat mengenal pasti mana-mana golongan di akar umbi yang perlu mendapatkan suntikan vaksin mengikut fasa yang ditetapkan sekaligus memastikan tiada kelompok yang tercicir.


"Saya meminta supaya UPPM di kawasan masing-masing mengambil langkah yang wajar bagi membantu proses vaksinasi. Ini penting bagi memastikan kita dapat mencapai sasaran pemberian vaksin harian, " katanya kepada Utusan Borneo.


Dalam perkembangan sama, Matbali juga mahu UPPM mengambil pendekatan sesuai bagi memberi keyakinan dan kesedaran kepada rakyat tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).


Usaha ini penting kerana UPPM mampu menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat bagi menangkis sebarang berita yang tidak sahih mengenai vaksin sekaligus meyakinkan mereka supaya tampil mendaftarkan diri untuk mendapat suntikan vaksin.


Dalam pada itu, Matbali turut merakamkan penghargaan kepada UPPM-UPPM yang telah menggerakkan usaha membantu di PPV lebih awal sebelum ini bagi menjayakan sasaran pemberian vaksin.


"Syabas dan tahniah kepada UPPM kerana turut membantu di lapangan bagi memastikan kelancaran pemberian vaksin. Saya harap kerjasama erat dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diteruskan bagi memastikan objektif ini dapat dicapai, " katanya.

  • oleh
  • Advertisement