Anda di sini

Tubuh pusat vaksinasi pandu lalu di bandar 

Advertisement
 

KUCHING: Parti Islam SeMalaysia (PAS) Sarawak mencadangkan pemberian vaksin COVID-19 ditambah baik dengan menubuhkan pusat vaksinasi pandu lalu untuk kawasan perumahan di bandar yang jumlah penduduknya ramai.

Ketua Penerangan PAS Sarawak, Zharudin Narudin (gambar) berkata pihaknya sendiri telah memulakan usaha itu dengan memberikan perkhidmatan pengangkutan percuma di kawasan Samariang, baru-baru ini.

"PAS Sarawak amat menyokong usaha kerajaan Sarawak dalam memberikan perlindungan kepada rakyat negeri ini melalui tindakan vaksinasi secara agresif. 

"Kini 80 peratus daripada 2.81 juta rakyat Sarawak iaitu seramai 2.2 juta akan menerimanya sebelum akhir Ogos tahun ini," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kerajaan negeri juga tambahnya memperkenalkan kaedah 'hibrid' iaitu salah satu langkah terbaik bagi penduduk di Sarawak di kawasan pedalaman.

Menurutnya, ia bagi memudahkan mereka mendapat vaksin tanpa perlu mendaftar di MySejahtera terlebih dahulu.

Jelas Zharudin, usaha bersepadu antara pemimpin suku kaum dan masyarakat luar bandar serta penyelarasan oleh pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau wakilnya harus bersama dalam usaha ini.

Beliau menegaskan, dengan usaha bersama dan agresif dari semua pihak, diharapkan masyarakat di negeri ini terus dilindungi dan usaha untuk membendung serta mengawal penularan wabak ini dapat dilakukan. 

Katanya lagi, keutamaan kerajaan negeri sekarang adalah untuk menyelamatkan nyawa rakyat Sarawak dan tumpuan sepenuhnya mesti diberikan tanpa kompromi.

Selain itu, beliau memberitahu, PAS percaya kerajaan Sarawak harus mempertimbangkan pertolongan kepada golongan M40 yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kehilangan punca pendapatan mereka. 

Tambahnya, usaha untuk mempermudahkan permohonan bantuan harus dilaksanakan melalui pejabat Residen atau wakil rakyat di setiap kawasan agar mereka yang terjejas mendapat bantuan yang sewajarnya tanpa tercicir. 

Dalam pada itu, Zharudin berkata, PAS turut menghulurkan bantuan berupa keperluan bayi dan kanak-kanak seperti lampin dan susu bagi mereka yang memerlukkan di kawasan Sungai Plan, Bintulu. 

Justeru, beliau meminta agar setiap Ahli Dewan Undangan Negero (ADUN) membantu rakyat yang memerlukkan tanpa mengira kedudukan, bangsa, agama, dan fahaman politik kerana virus tersebut menyerang sesiapa sahaja.

"Pada masa sama rakyat turut diingatkan untuk patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan untuk kesihatan dan kesejahteraan bersama," ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement