Anda di sini

Tiga lagi kluster baharu di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan tiga kluster baharu iaitu masing-masing satu di daerah Lundu, Kapit dan Kuching hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, tiga kluster itu, Kluster Kampung Sebandi Hilir di Lundu, Kluster Melatai di Kapit dan Kluster Kampung Tabuan Haji Drahman di Kuching.

Mengenai Kluster Kampung Sebandi Hilir katanya, merupakan satu kluster komuniti dikesan melibatkan sebuah kampung iaitu Kampung Sebandi Hilir di daerah Lundu yang berpunca dari perhimpunan upacara miring pada 31 Mei 2021 sempena sambutan pra Hari Gawai.

“Sejumlah 34 individu disaring dengan sembilan kes dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks dan 25 kes didapati negatif.

“Kesemua kes positif COVID-19 ini telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan PKRC di daerah Kuching bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi Kluster Melatai pula, JPBNS berkata, ia merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan penempatan di kawasan Melatai, Jalan Selirik, Kapit.

Jangkitan itu adalah berpunca daripada pergerakan sosial dan aktiviti berkunjung semasa sambutan Hari Gawai yang lalu.

“Sejumlah 139 individu disaring dengan 45 kes dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks; 23 kes didapati negatif dan 71 kes lagi masih menunggu keputusan makmal.

“Kesemua kes positif COVID-19 ini telah dimasukkan ke Hospital Kapit dan PKRC di daerah Kapit bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,”ujarnya.

Manakala Kluster Kampung Tabuan Haji Drahman katanya, merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah penempatan iaitu Kampung Haji Drahman di sini.

Jangkitan itu berpunca daripada kontak ahli keluarga dan pergerakan sosial dalam kalangan penduduk di lokaliti tersebut. 

“Sejumlah 62 individu disaring di mana 33 kes dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks dan 29 kes didapati negatif.

“Kesemua kes positif COVID-19 ini telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan PKRC di daerah Kuching bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” jelasnya.

JPBNS turut memaklumkan satu kluster tamat iaitu Kluster Penurin, Betong setelah tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 28 hari lepas.

“Susulan itu, jumlah kluster yang masih aktif di Sarawak adalah sebanyak 82 kluster. 

“Daripada jumlah ini, 10 kluster  telah merekodkan 45 penambahan kes baharu manakala 72 kluster tidak merekodkan penambahan kes,” tambahnya.
 

  • oleh
  • Advertisement