LIMBANG: Kerajaan Sarawak komited untuk meneruskan pengagihan bantuan bakul makanan kepada rakyat yang memerlukan di negeri ini khususnya golongan B40 yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun berdepan cabaran.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keadaan bentuk muka bumi yang luas, penduduk berselerak, terutama di luar bandar antara cabaran yang ditempuhi demi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.
“Pengagihan bantuan bakul makanan ini bukan mudah banyak cabaran terutama di luar bandar,penduduk yang hidup secara berselerak, apatah lagi penghantaran dijalankan semasa PKP ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya kepada media selepas Majlis Simbolik Penutupan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang di Dewan Bunga Raya di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, dan Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said.
Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu berkata pengagihan akan diteruskan di kawasan Batu Danau dan Bukit Kota.
“Walaupun berlaku kelewatan dari segi pembekalan barang, bantuan tetap diteruskan dari semasa ke semasa," tambah Awang Tengah.
Malah, katanya ada kawasan di Batu Danau iaitu Long Adang yang terputus hubungan dan memerlukan perkhidmatan helikopter selain pengagihan barangan menggunakan jalan sungai balak.
Beliau menjelaskan pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menambah tempoh penghantaran kepada mereka layak yang belum menerima bantuan.
“Jika masih ada lagi yang tertinggal bantuan secara tidak sengaja dan mereka benar-benar layak mendapatkan makanan ini, mereka ini boleh mengemukakan perkara itu kepada Pejabat Residen, Pejabat Daerah atau Pusat Khidmat,” ujarnya.
Katanya lagi, menerusi pakej itu, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima peruntukan minimum sebanyak RM250,000 dengan jumlah keseluruhan yang diperuntukkan di seluruh negeri adalah RM35.5 juta.
Manakala RM5 juta dibelanjakan untuk menampung kos pengangkutan bagi pengagihan bantuan tersebut di Sarawak.