Anda di sini

Sembilan PTI masuk secara haram berjaya ditahan.

Advertisement
 Kesemua PTI yang ditahan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut.
PADAH : Kesemua PTI yang ditahan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut.

TAWAU: Sembilan pendatang tanpa izin (PTI) yang baru masuk ke negara ini secara haram berjaya ditahan dalam satu operasi terancang di kampung Tawau Lama, di sini kelmarin.

Operasi tersebut dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Gempur Marin (UNGERIN) Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah (4) Sabah bersama Unit Risikan Marin (URM) PPM Tawau.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Polis Mohd Nazari Ismail berkata operasi yang dijalankan kira-kira jam 5 pagi itu dibuat berdasarkan maklumat risikan yang diterima.

“Pasukan keselamatan bertindak menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kampung tersebut kerana disyaki menjadi tempat transit PTI yang baharu tiba dari negara jiran.

“Hasil serbuan tersebut, berjaya menemukan lima warga asing terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berumur 16 hingga 35 tahun,”katanya.

Menurutnya, pasukan keselamatan kemudiannya memeriksa kawasan kebun pisang berhampiran kampung tersebut yang turut disyaki menjadi tempat transit PTI sebelum ini.

“Hasil pemeriksaan, pasukan keselamatan berjaya menemui empat warga asing masing-masing dua lelaki dan dua wanita berumur 14 hingga 42 tahun,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Beliau berkata, semua warga asing yang ditahan dalam serbuan tersebut didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua mereka dipercayai baru tiba dari negara jiran menggunakan laluan tikus dan sedang menunggu tekong darat untuk membawa mereka ke destinasi seterusnya.

“Kesemua PTI berkenaan ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan selanjutnya manakala kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1961,” katanya.

Nazari berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat persisir pantai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti yang menyalahi undang-undang negara di kawasan mereka.

“Maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197 agar tindakan dapat dilakukan dengan segera,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement