Anda di sini

Pertimbangkan geran bantuan kepada RKKBT

Advertisement
 Justin (lima kiri) menyampaikan bantuan kepada Sister Germaine. Turut kelihatan Jumain (empat kiri) dan sebahagian kanak-kanak berkenaan
PRIHATIN: Justin (lima kiri) menyampaikan bantuan kepada Sister Germaine. Turut kelihatan Jumain (empat kiri) dan sebahagian kanak-kanak berkenaan

TAMBUNAN: Kerajaan digesa untuk mempertimbangkan pemberian geran bantuan tahunan atau apa juga bentuk sumbangan bersesuaian kepada pelajar yang tinggal di Rumah Kanak-Kanak Bondulu Toboh (RKKBT).

Setiausaha Perhubungan Awam Kementerian Pertanian dan Perikanan Justin Yonsoding  berkata, pihaknya baru-baru ini bersama-sama Pejabat Wakil Rakyat (PWR), Pejabat Daerah dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tambunan telah mengadakan lawatan ke RKKBT.

"Tujuan lawatan ini adalah bagi menyerahkan bantuan barangan keperluan harian serta wang tunai kepada RKKBT.

"Kita mendapat tahu mereka dalam keadaan kekurangan berikutan tularnya maklumat berkenaan dalam media sosial," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Berikutan itu katanya, satu usaha telah dirangka bagi menyalurkan bantuan kepada rumah berkenaan. Sumbangan itu bukan sahaja dari PWR tetapi juga dari Pejabat Daerah yang diwakili oleh Pegawai Daerah, Jumain Abdul Ghani.

Beliau berkata, RKKBT merupakan satu badan yang dikendalikan oleh pihak gereja dan tidak mendapat bantuan daripada kerajaan dan hanya mendapat sumbangan daripada pihak bukan kerajaan (NGO), pemimpin-pemimpin masyarakat dan individu.
 
Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan telah memberikan bantuan kepada rumah berkenaan sejak dari dahulu lagi memandangkan beliau juga Pengasas Tambunan Welfare Society (TWS).

"Jeffrey mengharapkan supaya sebarang pemasalahan yang dihadapi termasuk memohon keperluan oleh pihak pengurusan RKKBT ini dapat mengemukakan kepada PWR supaya pejabat ini dapat membantu,” katanya.

Menurutnya, RKKBT menempatkan pelajar-pelajar daripada keluarga yang tidak berkemampuan yang amat perlu membantu demi masa depan pendidikan.

Katanya, mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi terus kepada Pengetua RKKBT, Sister Germaine atau kepada RKKBT pada talian 087-773325 (masa pejabat) untuk membuat sebarang tamu janji ataupun majlis penyerahan.

Sementera itu, Sister Geramine menjelaskan masalah kekurangan bekalan di RKKBT bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 iaitu pada awal bulan ini.

"Pihak pengurusan tidak bersedia sebab pada awalnya kanak-kanak ini hendak dihantar ke keluarga masing-masing tetapi telah menerima saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tidak menghantar mereka balik.

“Pada PKP pertama, pihak RKKBT sudah bersedia dan keadaan begitu teratur sebab rumah ini sudah bersedia untuk keadaan tersebut, “ katanya.
 

Advertisement