Anda di sini

PBB Nangka bantu daftarkan pemohon BKSS 6.0

Advertisement
Sukarelawan dari Pemuda PBB Cawangan Nangka sedang membantu penjaja dan peniaga kecil di sekitar kawasan Nangka untuk mendaftar sebagai pemohon BKSS 6.0.
Sukarelawan dari Pemuda PBB Cawangan Nangka sedang membantu penjaja dan peniaga kecil di sekitar kawasan Nangka untuk mendaftar sebagai pemohon BKSS 6.0.

SIBU: Lebih 200 penjaja dan peniaga kecil tanpa lesen dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka berjaya dibantu untuk didaftarkan sebagai pemohon Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0.

Pendaftaran BKSS 6.0 para penjaja dan peniaga kecil tanpa lesen ini dibantu oleh Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Nangka.

Salah seorang petugas program sukarelawan ini, Abdul Taib Rosli berkata program mendaftar BKSS 6.0 ini merupakan salah satu langkah oleh Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapa'ee bagi membantu para penjaja yang berniaga di bahu jalan dan sekitar DUN Nangka.

"Program ini telah bermula Selasa lepas (8 Jun) dan kita (pemuda PBB Cawangan Nangka) telah membantu lebih 200 penjaja dan peniaga tanpa lesen untuk memohon BKSS 6.0.

"Mereka ini dibantu kerana masih keliru cara-cara untuk memohon bantuan tersebut melalui atas talian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Taib yang juga Pengerusi Persatuan Peniaga Muslim Taman Selera Harmoni (TSH) Sibu, Abdul Taib Rosli berkata antara kesukaran yang dihadapi para penjaja atau peniaga adalah untuk mendaftar Sarawak Pay.

Ini kerana, jelasnya,  rata-rata mereka tidak mahir atau mampu mengendali aplikasi tersebut. 

"Mereka juga menghadapi kesukaran untuk mendapat akses internet di beberapa kawasan.

"Ini menyebabkan mereka sukar untuk memohon bantuan tersebut termasuk memohon permit berniaga sementara dari majlis tempatan sebagai salah satu syarat wajib permohonan bantuan BKSS 6.0," jelasnya.

Program ini dikendalikan dan diketuai oleh Timbalan Ketua Pemuda PBB Cawangan Nangka Kaunselor Mohammed Abdullah Izkandar Roseley bersama 26 pemuda PBB Nangka yang lain untuk bergerak di sekitar DUN Nangka. 

Sehubungan itu, kata Taib, rata-rata penjaja dan peniaga kecil ini berterima kasih kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas bantuan BKSS 6.0 yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini.

"Mereka juga merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr Annuar kerana cukup prihatin dengan masalah para penjaja dan peniaga seperti mereka yang berada di akar umbi," katanya.

Terdahulu, Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkata, inisiatif ini diambil bagi memastikan para penjaja dan peniaga kecil di sini tidak terlepas untuk memohon bantuan dari Kerajaan Negeri.

Secara khusus, pakej bantuan akan memperuntukan setiap penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar RM1,500, yang mana  RM750 akan dibayar bulan depan, dan RM750 lagi pada Disember.
 

  • oleh
  • Advertisement