Anda di sini

Niaga hadapan MSM dijangka mengalami pembetulan teknikal minggu hadapan

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengalami pembetulan teknikal pada minggu depan berikutan data inventori yang lebih tinggi yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). 

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group, Jim Teh berkata stok sedia ada Malaysia dan Indonesia didapati melonjak sehingga menyebabkan pasaran Jun serta Julai dibanjiri produk minyak sawit.

"Oleh itu, kontrak niaga hadapan berkemungkinan akan didagangkan antara RM3,300 dan RM3,400 satu tan," katanya kepada Bernama. 

Semalam, data MPOB menunjukkan stok MSM terus meningkat pada Mei 2021, berkembang 7.15 peratus kepada 841,464 tan berbanding 785,308 tan yang direkodkan pada bulan sebelumnya. 

Eksport minyak sawit jatuh 6.01 peratus dari bulan ke bulan kepada 1.26 juta tan pada Mei daripada 1.35 juta tan dan eksport minyak isirong sawit mengecil 26.12 peratus dari bulan ke bulan kepada 71,330 tan berbanding 96,546 tan sebelum ini.

Bagaimanapun, peniaga minyak sawit David Ng mengunjurkan harga mungkin menerima kekuatan baharu pada minggu akan datang selepas penurunannya dijangka menarik minat membeli daripada peniaga.

Sama juga, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata pasaran MSM seharusnya menyaksikan pemulihan selepas jatuh mendadak minggu ini, disokong oleh jangkaan data eksport yang yang lebih baik untuk 1 hingga 15 Jun.

Menurut sebuah syarikat pemeriksaan bebas AmSpec Agri Malaysia, eksport produk minyak sawit tempatan dalam tempoh 1 hingga 10 Jun susut 14.3 peratus kepada 402,520 tan berbanding tempoh yang sama pada Mei. 

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran ditutup lebih rendah berikutan kebimbangan berterusan terhadap peningkatan pengeluaran dan output yang telah menjejaskan harga.  

Secara mingguan, Jun 2021 jatuh RM371 kepada RM3,859 satu tan, Julai 2021 menurun RM487 kepada RM3,714 satu tan, Ogos 2021 susut RM466 kepada RM3,663 satu tan dan September 2021 adalah RM439 lebih rendah kepada RM3,625 satu tan. 

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 300,823 lot berbanding 386,895 lot yang dicatatkan pada minggu dagangan sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 250,420 kontrak daripada 230,652 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan merosot RM100 kepada RM4,050 satu tan. 

Pasaran domestik ditutup pada Isnin bersempena dengan hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - BERNAMA
 

Advertisement