Anda di sini

Kerajaan negeri jelas utamakan rakyat menerusi pemberian Bantuan Sabah Prihatin 3.0 : Shahril

Advertisement
MOHD SHAHRIL OSIN
MOHD SHAHRIL OSIN

KOTA KINABALU : Pemberian Bantuan Sabah Prihatin 3.0 jelas menunjukkan kerajaan negeri yang ada pada hari ini bukan sahaja memfokuskan terhadap pembangunan Sabah semata-mata tetapi turut mengutamakan kebajikan rakyatnya.


Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) berkata, ini terbukti apabila kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Sabah Prihatin 3.0 kepada golongan sasar yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ekoran peningkatan kes COVID-19.


Jelas beliau, kerajaan negeri yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor jelas membuktikan kerajaan yang ada pada hari ini amat prihatin terhadap rakyat di negeri ini dengan menyalurkan bantuan pelbagai bentuk bantuan bagi membantu mereka.


"Saya percaya bantuan berkenaan akan meringankan beban golongan sasar yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP 3.0 akibat peningkatan jangkitan COVID-19 di seluruh negara dan tidak terkecuali Sabah.


"Saya juga yakin rakyat khususnya di negeri ini terutama di peringkat akar umbi amat berterima kasih dengan pemberian bantuan daripada kerajaan negeri.


"Sudah pasti juga kerajaan negeri tidak akan berhenti meneruskan bantuan seumpamanya kepada golongan sasar kerana pimpinan yang ada mempunyai pelbagai perancangan sesuai untuk membantu rakyat di negeri ini, " katanya kepada Utusan Borneo.


Dalam perkembangan berkaitan, Shahril turut mengingatkan kepada masyarakat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang PKP 3.0 bagi mengurangkan sekaligus memutuskan rantaian wabak COVID-19 di negeri ini.


Jelas beliau, pematuhan terhadap SOP adalah penting kerana ia bukan sahaja dapat menghindari diri sendiri daripada wabak berbahaya itu tetapi pada masa sama berupaya menjauhkan keluarga tersayang daripada risiko jangkitan.


Justeru, Shahril turut berharap rakyat juga sedar tentang kepentingan vaksin yang disediakan kerajaan bagi melindungi diri dan keluarga malah membantu mewujudkan imuniti berkelompok daripada risiko itu.

  • oleh
  • Advertisement