Anda di sini

Hilang ketika cari umbut

Advertisement
 Operasi SAR dilancarkan untuk mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang ketika mencari hasil hutan di Bukit Tugung, Nanga Lijan, Julau.
GIAT DIJALANKAN: Operasi SAR dilancarkan untuk mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang ketika mencari hasil hutan di Bukit Tugung, Nanga Lijan, Julau.

BINTANGOR: Seorang wanita dilaporkan hilang ketika mencari umbut dan hasil hutan di Bukit Tugung, Nanga Lijan, Julau kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, mangsa yang dilaporkan hilang dikenal pasti sebagai Ijah Lassa, 54, dari Rumah Banyang, Nanga Lijan, Julau.

“Dalam kejadian tersebut, Ijah dilaporkan pergi ke hutan terbabit bersama dua rakannya yang juga berusia dalam lingkungan 50-an sekitar jam 10 pagi.

“Setelah mendapat beberapa hasil hutan, dua rakan mangsa telah mengajak mangsa untuk berehat sebentar sebelum pulang ke rumah panjang mereka.

“Namun demikian, mangsa dilaporkan pulang seorang diri terlebih dahulu dan tidak menunggu untuk pulang bersama dua rakannya itu,” kata Nicholas dalam kenyataan kepada media, semalam.

Bagaimanapun katanya, ketika sampai di rumah panjang sekitar jam 3 petang, dua rakan mangsa mendapati mangsa masih belum pulang ke rumahnya.

“Risau dengan keselamatan mangsa, dua rakannya itu telah memaklumkan berita kehilangan mangsa kepada penduduk rumah panjang yang lain,” tambahnya.

Menurut Nicholas, sejurus menerima berita itu, penduduk rumah panjang mangsa bersama beberapa penduduk rumah panjang lain melancarkan usaha mencari dan menyelamat mangsa (SAR).

“Namun demikian, usaha tersebut menemui jalan buntu dan Tuai Rumah Banyang tampil membuat laporan polis berkaitan kehilangan mangsa di Balai Polis Julau semalam (Khamis).

“Pihak polis kemudiannya memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak bomba yang terus mengakifkan operasi SAR.

“Pada hari pertama operasi SAR dilancarkan semalam (Khamis), radius pencarian ialah sekitar dua kilometer namun gagal menemui sebarang petunjuk berkaitan kehilangan mangsa,” ujar Nicholas.

Katanya lagi, operasi hari pertama yang bermula pada jam 10.30 pagi telah ditangguhkan pada jam 5 petang kelmarin dan disambung semula pagi semalam dengan memperluaskan lagi radius lokasi pencarian.

“Operasi SAR hari kedua pada hari ini (semalam) turut melibatkan anjing pengesan (K9).

“Namun demikian sehingga jam 3 petang, belum ada sebarang berita berkaitan mangsa dan pihak yang terlibat dalam operasi SAR masih giat melakukan pencarian,” ujar Nicholas.

Turut terlibat dalam operasi SAR tersebut ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia dan penduduk kampung.

  • oleh
  • Advertisement