Anda di sini

Buaya sesat ditangkap penduduk Kampung Pulau Gaya

Advertisement
 Buaya sesat sepanjang empat meter berjaya ditangkap penduduk kampung di Pulau Gaya petang tadi.- Gambar ihsan penduduk Pulau Gaya
TANGKAP: Buaya sesat sepanjang empat meter berjaya ditangkap penduduk kampung di Pulau Gaya petang tadi.- Gambar ihsan penduduk Pulau Gaya


KOTA KINABALU: Buaya berukuran empat meter yang tersesat di kawasan laut berhampiran perairan Pulau Gaya di sini akhirnya berjaya ditangkap petang tadi.

Ketua Kampung Pulau Gaya Rajit Serong, 60, berkata pada awalnya kelibat buaya itu disedari seorang penduduk Kampung Pondo seawal jam 8 pagi.

“Penduduk terbabit kemudiannya mengekori buaya itu kerana bimbang jikalau membahayakan penduduk.

“Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian, penduduk kampung lain bergilir mengekori buaya itu menggunakan bot,” katanya.

Menurutnya kelibat buaya berkenaan semakin jelas ketika air laut surut bagaimanapun reptilia itu hanya berlegar-legar berhampiran pantai Kampung Lobong.

"Kami terus memasang jerat menggunakan tali sebelum akhirnya menangkapnya kira-kira jam 5.30 petang.

"Kami terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Rajit berkata, ia adalah pengalaman pertama mereka menangkap haiwan ganas berkenaan sejak tinggal di pulau berkenaan.

"Tujuan kami menangkap buaya ini adalah kerana bimbang keselamatan penduduk di pulau ini terutamanya kanak-kanak.

"Kita bimbang sekiranya kehadirannya tidak dikesan, ia juga boleh mendatangkan bahaya kepada nelayan di perkampungan sekitar pulau ini," katanya.

Kejadian itu turut tular di media sosial selepas dimuat naik penduduk kampung yang berusaha menangkap haiwan berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement