Anda di sini

5 lagi kes kematian disebabkan COVID-19

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: lima lagi kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini masing-masing di daerah Tawau, Semporna, Lahad Datu, Putatan dan Kota Kinabalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 378 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 65,708 kes.

"Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 69 kes iaitu daripada 309 kes kelmarin. Daripada 378 kes jangkitan baharu hari ini, 167 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat.

"Sementara 130 kes adalah daripada saringan kluster, 31 kes adalah daripada saringan bergejala, 36 kes daripada saringan bersasar dan 14 kes adalah daripada lain-lain kes," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Indah, Nabawan dan dua lokaliti di Tawau iaitu Taman Kinabutan Ria serta Simpang Inderasabah berkuatkuasa 14 Jun sehingga 27 Jun 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan. 

Selain itu katanya, PKPD turut dilaksanakan di Kampung Manggis Kuala Penyu, Kampung Baru (SFI) Sipitang dan dua lokaliti di Kota Belud iaitu Kampung Tawadakan serta Kampung Kota Bungan berkuatkuasa 14 Jun sehingga 27 Jun 2021.

Menurutnya, terdapat tiga kluster baharu dilaporkan iaitu Kluster Ambar Park Tawau, Kluster Indah Nabawan dan Kluster Kg Baru Sipitang.
 

  • oleh
  • Advertisement