Anda di sini

20 peratus peningkatan BSP 3.0 sangat bertepatan

Advertisement
AHMAD FARID
AHMAD FARID

KOTA KINABALU: Peningkatan sebanyak 20 peratus jumlah Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0 berbanding sebelumnya dilihat sangat bertepatan dengan keperluan mendesak golongan rentan.

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) Ahmad Farid Sainuri berkata, MBS juga berterima kasih diatas kepercayaan yang diberikan kerajaan negeri dalam pelaksanaan misi kemanusiaan Dapur Belia 4.0.

"Penyaluran dana berjumlah RM500,000 bagi program ini akan digunakan secara amanah dan integriti bagi menggerakkan pertubuhan belia di seluruh Sabah untuk menyampaikan bantuan kepada mereka yang tercicir daripada senarai bantuan rasmi Kerajaan.

"Misi Dapur Belia 4.0 menerapkan nilai kemanusiaan, kesukarelawanan dan kepimpinan dalam kalangan penggerak pertubuhan belia untuk menyampaikan bantuan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Atas dasar itu katanya, penerima bantuan Dapur Belia 4.0 adalah tidak terhad kepada golongan belia sahaja malah kepada semua lapisan umur.

Menurutnya, walaupun BSP 3.0 dilihat sebagai bantuan kebajikan yang komprehensif, tetapi ianya bukanlah 'one size fits all'. 

Katanya, MBS menyeru masyarakat terutamanya golongan belia untuk proaktif mencari dan memohon bantuan yang sesuai dengan keperluan mereka.

"MBS menjemput awam terutamanya belia Sabah untuk ke laman web rasmi MBS di pautan www.beliasabah.org.my/covid19 bagi mendapatkan maklumat mengenai pelbagai bantuan Kerajaan Persekutuan, Negeri dan peluang ekonomi gig," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement