Anda di sini

Wanita warga China didenda ingkar PKP, berhibur

Advertisement
 

KUCHING: Seorang wanita warganegara China didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan berhibur di pusat hiburan. 

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali juga memerintahkan tertuduh Huang Guiping, 37, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut, untuk dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. 

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melanggar perintah pegawai yang diberi kuasa dan terlibat dengan aktiviti terlarang iaitu pusat hiburan, sewaktu pelaksanaan PKP.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 8 Jun lalu, jam lebih kurang 10.30 malam bertempat di sebuah pusat hiburan di Jalan Canna, di sini.

Sehubungan itu, dia didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.
 

  • oleh
  • Advertisement